Pengunjung mengambil peluang untuk membeli pelbagai jenis buah-buahan bermusim yang dijual semurah RM5 per kilogram pada Program Jualan Agro Madani at Jualan Buah Bermusim & Durian anjuran FAMA di Pasar Tani Kekal Putrajaya, Presint 4, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 09 JANUARI 2026

PUTRAJAYA – Lebihan bekalan durian yang berlaku ketika ini berpunca daripada isu durian klon untuk tujuan eksport yang tidak memenuhi piawaian antarabangsa bukan disebabkan kelemahan permintaan durian kampung dalam pasaran tempatan.

Timbalan Ketua Pengarah Sekuriti Makanan dan Operasi FAMA, Faisal Iswardi Ismail berkata, lambakan tersebut turut disumbangkan oleh pengeluaran durian klon seperti Musang King daripada kebun muda berusia bawah 10 tahun yang menghasilkan buah berkualiti rendah dan gagal menepati spesifikasi eksport khususnya ke China dan Singapura.

Menurutnya, kejatuhan harga durian klon sehingga RM15 hingga RM20 sekilogram memberi kesan rantaian kepada harga durian kampung di seluruh negara.

“Bagi mengurangkan impak terhadap petani, FAMA melaksanakan beberapa inisiatif termasuk membeli durian kampung yang terjejas harga untuk diproses menjadi pes dan pulp di pusat pemprosesan terpilih seperti di Besut, Jerantut, Sungai Petani dan Machang.

“FAMA memiliki 14 pusat pemprosesan buah di seluruh negara yang bersedia membantu, namun tumpuan ketika ini diberikan kepada empat lokasi utama bagi menyerap lebihan bekalan yang tidak dapat dipasarkan sebagai buah segar,” katanya.

Timbalan Pengarah FAMA, Faisal Iswardi Ismail bercakap pada sidang media pada Program Jualan Agro Madani at Jualan Buah Bermusim & Durian anjuran FAMA di Pasar Tani Kekal Putrajaya, Presint 4, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 09 JANUARI 2026

Faisal Iswardi berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Jualan Agro Madani @ Jualan Buah Bermusim dan Durian di sini hari ini.

Selain itu, beliau memaklumkan, FAMA mengoperasikan 42 pusat belian di seluruh negara bagi melaksanakan pembelian secara langsung khususnya durian varieti kampung, sama ada untuk jualan segar atau diproses menjadi produk nilai tambah.

Faisal Iswardi berkata, penganjuran Program Jualan Agro Madani khusus bagi buah-buahan bermusim dan durian merupakan langkah intervensi penting bagi menstabilkan pasaran, melindungi pendapatan pengeluar serta memastikan pengguna mendapat bekalan durian tempatan pada harga munasabah.

“Bagi memperkukuh pengurusan lebihan bekalan, FAMA turut menggerakkan rangkaian 285 outlet pemasaran di seluruh negara merangkumi Pasar Tani, Pasar Tani Kekal, Medan Gerai Buah-buahan Segar dan Medan Niaga,” katanya.

Mengulas program jualan selama dua hari bermula semalam di Pasar Tani Putrajaya, beliau berkata, lebih 30 metrik tan buah-buahan khususnya durian dibawa terus untuk jualan bagi membantu pengeluar yang terjejas, terutama dari Jerantut, Pahang dan Jelebu, Negeri Sembilan.

Program tersebut mendapat sambutan luar biasa apabila merekodkan jualan melebihi RM100,000 sejak semalam sekali gus mendorong penganjur melanjutkannya sehingga esok.

Menurutnya, sasaran jualan keseluruhan bagi dua hari adalah RM200,000, selain FAMA merancang penganjuran siri kedua jualan durian di lokasi sama bergantung kepada bekalan.

Program Jualan Agro Madani seterusnya dijadualkan berlangsung di Kedah pada 16 Januari dan di Bandar Baru Selayang pada 22 Januari ini.

Faisal Iswardi turut memaklumkan FAMA menyediakan sokongan logistik bagi membawa buah dari kawasan pengeluaran terus ke pusat pengguna, selain menyediakan outlet pemasaran rasmi bagi membolehkan petani menjual hasil tanpa melalui orang tengah. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast