DABONG – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menyantuni para pelajar sempena hari pertama sesi persekolahan 2026,
khususnya di kawasan pedalaman Pantai Timur menerusi Program “KTMB Santuni Pelajar Wilayah Pantai Timur”.
Program ini bermula di Stesen Kuala Gris dengan edaran cenderahati istimewa kepada 150 pelajar yang menaiki Perkhidmatan Shuttle Timuran SH51 ke Dabong, selain dari Bukit Abu, Ulu Temiang, Manek Urai sehingga ke Stesen Dabong.
Cenderahati istimewa tersebut sebagai tanda sokongan moral dan galakan kepada mereka untuk memulakan sesi persekolahan baharu dengan lebih bersemangat.
Pemangku Pengurus Besar, Perkhidmatan ETS dan Antarabandar, Mohd Azhar Abu Bakar berkata, perkhidmatan keretapi kekal sebagai pengangkutan utama dan paling relevan kepada pelajar di kawasan pedalaman Pantai Timur untuk ke sekolah, khususnya bagi komuniti yang tidak mempunyai akses jaringan lebuh raya sepenuhnya.
“Bagi penduduk di Dabong, Kuala Gris, Bukit Abu, Ulu Temiang, Manek Urai dan kawasan sekitarnya, perkhidmatan tren bukan sekadar kemudahan pengangkutan, malah menjadi sebahagian daripada rentak kehidupan pengguna kami, dengan ada dalam kalangan mereka sanggup bangun seawal jam 4 pagi agar tidak terlepas jadual tren,” katanya.

Pelaksanaan program ini juga selari dengan pengumuman kerajaan menerusi Belanjawan 2026 berhubung pelaksanaan tambang percuma bagi kanak-kanak berumur enam tahun ke bawah bermula 1 Januari 2026.
“Seiring usaha memperkasa penggunaan pengangkutan awam, KTMB terus memperkukuh ekosistem MyRailLife dan setakat tahun 2025, pendaftaran bagi sektor Pantai Timur merangkumi 41,641 pelajar serta 1,823 golongan kurang upaya (OKU), menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 43,464 pendaftaran” ujar beliau.
Pada masa yang sama, untuk memenuhi keperluan penumpang di laluan Pantai Timur, seperti yang telah diumumkan sebelum ini dua perkhidmatan baharu Shuttle Timuran bagi laluan Gemas – Kuala Lipis telah diperkenalkan bermula 1
Januari 2026, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak enam perkhidmatan sehari.
Penambahan ini memberi lebih banyak pilihan perjalanan kepada pengguna, khususnya bagi mereka yang ingin ke arah Selatan dan merasai pengalaman menaiki perkhidmatan ETS3 melalui transit di Stesen Gemas.
Pada tahun 2025, perkhidmatan Shuttle Timuran (SH) merekodkan 395,163 penumpang, manakala Ekspres Rakyat Timuran (ERT) mencatatkan 666,121 penumpang.
Bagi tahun 2026, KTMB menyasarkan 687,214 penumpang bagi SH dan 368,875 penumpang bagi ERT, selari dengan penambahbaikan serta penyusunan semula perkhidmatan mengikut keperluan operasi semasa.
Azhar menambah, KTMB komited untuk terus memainkan peranan sebagai nadi pengangkutan negara yang bukan sahaja menghubungkan destinasi, malah menyokong pembangunan sosial serta kesejahteraan komuniti, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman. – MalaysiaGazette















