KUALA LUMPUR – Seramai 15 orang cedera selepas sebuah bas ekspres terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori tiga tan di Kilometer 1.0 Lebuhraya PLUS dari Ipoh antara laluan Sungai Buaya ke Rawang.
Ketika kejadian bas ekspres berkenaan membawa 42 orang penumpang termasuk dua pemandu bas.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.24 pagi sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang tiba di lokasi kejadian pada 5.51 pagi.
Mangsa yang selamat di dalam bas seramai 38 telah berjaya keluar, manakala empat orang tersepit.

Kesemua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan.
Daripada 15 orang mangsa yang cedera, tiga orang berada di zon merah, empat (zon kuning) dan lapan (zon hijau).
Terdahulu, bomba memaklumkan empat penumpang bas dan pemandu lori tersepit dalam kemalangan tersebut.
“Jentera bomba tiba di lokasi pada 5.51 pagi dan mendapati kemalangan melibatkan sebuah bas dengan lori.
“Terdapat lima mangsa tersepit melibatkan empat penumpang bas dan seorang pemandu lori.
“Empat penumpang bas tersepit, namun tiga daripada mereka berjaya dikeluarkan manakala seorang lagi masih tersepit ketika ini.
“Pemandu lori juga sudah berjaya dikeluarkan oleh pasukan penyelamat,” katanya dalam kenyataan.

Ahmad Mukhlis berkata, operasi menyelamat masih diteruskan bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam bas dengan menggunakan peralatan khas.
Kemalangan itu menyebabkan trafik arah selatan sesak sejauh lima kilometer dan arah utara perlahan tiga kilometer.
Dalam pada itu, PLUS Malaysia menerusi Facebook memaklumkan sehingga jam 10.56 pagi tadi, lorong kanan dan tengah telah dibuka.
Namun, lorong kanan dan tengah arah utara masih ditutup.
Keadaan itu menyebabkan trafik sesak sejauh 5 kilometer arah selatan manakala perlahan 4 kilometer arah utara. – MalaysiaGazette
















