Gambar-gambar kebakaran melibatkan belukar di Australia. foto Good Morning Australia

SYDNEY – Kebakaran belukar telah memusnahkan ratusan bangunan di tenggara Australia, kata pihak berkuasa pada Ahad, sambil mengesahkan kematian pertama akibat bencana tersebut.

Suhu melonjak melebihi 40 darjah Celsius apabila gelombang haba melanda negeri Victoria, mencetuskan berpuluh-puluh kebakaran yang secara keseluruhan memusnahkan lebih 300,000 hektar (740,000 ekar) kawasan.

Pasukan bomba sedang menilai tahap kerosakan apabila keadaan bertambah baik pada Ahad selepas pihak berkuasa telah mengisytiharkan keadaan bencana.

Pesuruhjaya Pengurusan Kecemasan, Tim Wiebusch berkata, lebih 300 bangunan telah musnah terbakar, termasuk bangsal dan struktur lain di kawasan luar bandar.

Lebih 70 buah rumah turut musnah dalam kebakaran yang turut memusnahkan bersama kawasan pertanian yang luas serta hutan semula jadi.

Polis berkata, seorang individu telah terkorban dalam kebakaran belukar berhampiran bandar Longwood, kira-kira dua jam perjalanan ke utara ibu negeri Melbourne.

Satu lagi kebakaran belukar berhampiran pekan kecil Walwa disertai kilat apabila haba yang terhasil cukup kuat untuk membentuk ribut petir setempat.

Beratus-ratus anggota bomba dari seluruh Australia telah dikerahkan untuk membantu usaha memadam kebakaran.

Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, berkata beliau sedang berbincang dengan Kanada dan Amerika Syarikat bagi mendapatkan bantuan tambahan jika perlu.

Jutaan penduduk Australia minggu ini terpaksa menghadapi gelombang haba yang melanda sebahagian besar negara itu.

Suhu tinggi dan angin kering bergabung mewujudkan antara keadaan kebakaran belukar paling berbahaya sejak kebakaran “Black Summer”.

Kebakaran Black Summer melanda pantai timur Australia dari akhir 2019 hingga awal 2020, memusnahkan berjuta-juta hektar tanah, memusnahkan ribuan rumah dan menyelubungi bandar-bandar dengan asap beracun.

Penyelidik mendapati iklim Australia telah memanas secara purata 1.51 darjah Celsius sejak 1910, sekali gus menyumbang kepada kejadian cuaca ekstrem yang semakin kerap di daratan dan lautan.

Australia kekal sebagai antara pengeluar dan pengeksport gas dan arang batu terbesar dunia, iaitu dua bahan api fosil utama yang dipersalahkan atas pemanasan global. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast