KUALA LUMPUR – Rapid Bus Sdn. Bhd. (Rapid Bus) akan melaksanakan penstrukturan semula beberapa laluan bas terpilih di Lembah Klang secara berfasa sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk meningkatkan kecekapan
operasi dan kebolehpercayaan perkhidmatan pengangkutan awam bas.
Fasa pertama penstrukturan akan bermula pada 16 Januari 2026 dan melibatkan 16 laluan bas perantara MRT serta tiga laluan bas Rapid KL yang akan ditukar kepada perkhidmatan Rapid KL On-Demand sepenuhnya.
Penstrukturan ini dilaksanakan berdasarkan jumlah penumpang harian yang rendah, selain kewujudan pilihan alternatif melalui perkhidmatan Rapid KL On-Demand di laluan-laluan terlibat.


Laluan-laluan yang terlibat di bawah penstrukturan ini adalah tujuh peratus daripada keseluruhan 281 laluan bas di bawah kendalian Rapid KL, termasuk laluan bas perantara MRT dan LRT.
Menurut Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus, Ku Jamil Zakaria, penstrukturan semula ini dibuat berdasarkan dapatan Demand-Led Bus Network Study, iaitu kajian perancangan rangkaian bas berasaskan data penggunaan sebenar penumpang yang telah dilaksanakan sejak pertengahan tahun 2024.
Hasil kajian ini membolehkan Rapid KL menyusun dan menyesuaikan laluan serta kekerapan perkhidmatan agar lebih selari dengan keperluan semasa pengguna, sekali gus meningkatkan kecekapan penggunaan sumber dan kebolehpercayaan perkhidmatan bas.
Katanya, akses perkhidmatan untuk pengguna sedia ada kekal terjamin kerana perubahan operasi ini disokong melalui perkhidmatan Rapid KL On-Demand, yang boleh ditempah menerusi aplikasi Rapid On-Demand yang boleh dimuat turun di Google Play dan Apple App Store.
Pengguna masih boleh meneruskan perjalanan harian mereka melalui rangkaian perkhidmatan yang tersedia mengikut keperluan masing-masing. – MalaysiaGazette















