KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak boleh didakwa semula terhadap 47 pertuduhan penyelewengan dana Yayasan Akalbudi selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan untuk tidak mengambil tindakan lanjut terhadap kes tersebut.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar berkata, selepas meneliti enam representasi yang dikemukakan oleh pihak pembelaan, jabatan itu berpuas hati kes dihadapi Ahmad Zahid lemah dan tidak memungkinkan ia diteruskan.
“Saya buat keputusan bukan suka-suka. Ada isu fakta dan undang-undang yang dibangkitkan oleh peguam dalam representasi tersebut.
“Kes dah `dilute’ dan siasatan lanjut mendapati tiada keperluan kes ini diteruskan. Kes sudah selesai dan dia tidak boleh didakwa lagi.
“Kita sudah nyatakan dalam kenyataan media hari itu, jadi dia bebas secara muktamad, mutlaklah. Jadi tiada masalah,” ujar beliau kepada wakil media pada Majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2026 di sini hari ini.

Mohd. Dusuki menjelaskan, beliau menggunakan kuasa di bawah Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan ketika mengambil keputusan untuk tidak meneruskan kes terhadap Ahmad Zahid meskipun selepas prima facie dibuktikan di peringkat Mahkamah Tinggi.
Ujar beliau, pihak pendakwaan menilai semula siasatan lanjut yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)n dan mendapati kes tersebut tidak kukuh.
Katanya, siasatan lanjut itu sangat komprehensif berbanding ketika mula-mula Ahmad Zahid dituduh di mahkamah.
“Kita menghormati keputusan hakim (yang memanggil Ahmad Zahid membela diri), tetapi kita kena tahu ada sesetengah kes yang dipanggil bela diri dan disabitkan di peringkat Mahkamah Tinggi tetapi kita panggil balik di peringkat Mahkamah Rayuan.
“Dan ada keperluan untuk pertuduhan `diturunkan’ (dipinda) walaupun tertuduh telah disabitkan,” ujarnya.
Menjawab soalan bahawa peguam Ahmad Zahid akan mengemukakan permohonan supaya Timbalan Perdana Menteri dilepas dan dibebaskan daripada semua pertuduhan, Mohd. Dusuki berkata, pihaknya belum mempertimbang sama ada untuk membantah permohonan tersebut.
Pada 8 Januari lalu, AGC dalam kenyataan memaklumkan untuk tidak meneruskan pendakwaan terhadap Ahmad Zahid melibatkan 47 pertuduhan penyelewengan dana Yayasan Akalbudi.
Dalam kenyataan itu, AGC berkata, keputusan tersebut sekaligus membawa kepada penamatan muktamad kes berkenaan, selaras dengan kuasa dan budi bicara Peguam Negara di bawah Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang berkaitan.
Sehubungan itu, jabatan tersebut memutuskan bahawa tiada tindakan lanjut (No Further Action) akan diambil berhubung kes berkenaan.
AGC merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi di sini pada 4 September 2023 yang telah melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan melibatkan kesalahan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Persekutuan) melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan yang memaklumkan AGC berhasrat memberhentikan semua prosiding terhadapnya. – MalaysiaGazette
















