Loh Yee Chuan dilepaskan dan dibebaskan tanpa bela diri oleh Mahkamah Majistret Butterworth hari ini.

BUTTERWORTH – Mahkamah Majistret di sini hari ini, melepaskan dan membebaskan seorang lelaki tempatan tanpa dipanggil membela diri atas tujuh pertuduhan menipu ahli keluarga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang berjumlah RM330,000 empat tahun lalu.

Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, Loh Yee Chuan, 38 tahun.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Farihin Ahmad manakala Yee Chuan diwakili peguam C. Hari Prassaad Rao.

Ketika prosiding, Hari Prassaad Rao menjelaskan bahawa bukti yang dikemukakan menunjukkan transaksi itu adalah pinjaman berdasarkan perjanjian persahabatan dan tidak melibatkan sebarang penipuan.

Selepas mengambil kira perjanjian persahabatan yang ditandatangani oleh kedua-dua pihak dan bukti lain serta siasatan yang tidak menyeluruh, mahkamah memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

Susulan itu, tertuduh yang kini bekerja di Taiwan dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil untuk membela diri.

Mengikut kesemua pertuduhan, Yee Chuan didakwa menipu seorang lelaki, Phee Wei Sheng, 38, dengan memperdayakannya supaya percaya tertuduh akan memberikan keuntungan daripada pelaburan forex.

Tindakan itu telah mendorong Wei Sheng memindahkan wang tunai berjumlah RM330,000 ke akaun bank tertuduh dalam tujuh transaksi antara 15 November hingga 23 Disember 2019.

Bagi kesalahan dia didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara antara setahun hingga 10 tahun, sebatan dan denda. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast