KUALA LUMPUR – HRD Corp telah meluluskan bantuan kewangan berjumlah RM2.62 bilion bagi aktiviti latihan dan pembangunan kemahiran pada tahun 2025, mencatatkan pertumbuhan 32% berbanding 2024.
Menurutnya, terdapat lebih 2.8 juta tempat latihan bagi program dan skim yang ditadbir oleh HRD Corp direkodkan pada tahun 2025, juga menunjukkan pertumbuhan positif sebanyak 3% berbanding 2024.
Sektor yang merekodkan jumlah tempat latihan tertinggi ialah sektor pembuatan dengan lebih 795,000 tempat latihan pada tahun 2025.
Manakala sektor pembuatan merupakan sektor kedua terbesar dari segi sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan lazimnya menyumbang antara 23 hingga 25% daripada KDNK negara, katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehingga November 2025, seramai 2.4 juta pekerja direkodkan dalam sektor ini merangkumi segmen produk elektrik dan elektronik, produk makanan dan minuman, serta produk petroleum dan kimia.
Purata gaji dan upah yang dibayar dalam sektor pembuatan mencatatkan peningkatan sebanyak 1.1% tahun ke tahun setakat November 2025.
Sektor teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang memacu ekonomi digital Malaysia menyumbang 23.4% kepada KDNK pada tahun 2024 dan dijangka meningkat kepada 25% pada tahun 2025.
Jumlah bantuan kewangan yang diluluskan oleh HRD Corp di bawah IR4.0 mencecah RM130 juta dengan lebih 103,000 tempat latihan direkodkan merangkumi keseluruhan sektor ekonomi digital dan ICT.
“Ini menunjukkan pembangunan kemahiran semakin menjadi teras kepada daya tahan tenaga kerja dan daya saing perniagaan.
“Ketika industri menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi yang pesat, saluran bakat semakin ketat serta keperluan pekerjaan sentiasa berkembang, HRD Corp menumpukan kepada hasil yang praktikal untuk majikan, mudah diakses oleh komuniti dan selaras dengan hala tuju masa depan pembangunan tenaga kerja di Malaysia serta rantau ASEAN,” ujarnya.
Seiring dengan keutamaan latihan yang dipacu oleh majikan, HRD Corp turut mengekalkan fokus yang kukuh terhadap akses inklusif kepada pembangunan kemahiran melalui inisiatif yang disasarkan.
Tambahnya, seramai 18,137 rakyat Malaysia telah mendapat manfaat daripada inisiatif pembangunan kemahiran yang menggunakan gabungan geran kerajaan dan dana dalaman HRD Corp. – MalaysiaGazette















