PETALING JAYA – Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih menjalankan siasatan terhadap seorang bekas menteri disyaki menerima suapan kira-kira RM5 juta serta kereta mewah membabitkan projek iklan dan pemindahan tanah di ibu negara.
Bagaimanapun Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya tidak holeh mendedahkan lagi identiti bekas menteri itu mahupun butiran lanjut berkaitan siasatan.
“Siasatan masih berjalan dan belum selesai namun segala perkembangan berkait siasatan tempoh tahun lalu dan terkini akan dimaklumkan dalam sisang media pada 15 Januari ini, “ katanya secara ringkas.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) SPRM bersama Help Universiti di sini hari ini.
Sebelum ini media melaporkan, bekas menteri terbabit telah menerima wang kira-kira RM5 juta serta sebuah kereta mewah jenis Lamborghini dipercayai berkait dengan projek papan iklan dan pemindahan tanah di ibu negara.
Menurut sumber, berdasarkan maklumat awal yang diterima SPRM, wang itu dipercayai diterima daripada sebuah syarikat pemaju manakala kereta mewah terbabit didakwa disumbangkan oleh sebuah syarikat pembuat papan iklan.
Sumber sama memaklumkan, bagi kes berkaitan tanah, siasatan awal mendapati beberapa lot tanah yang sebelum ini digazetkan bagi pembinaan surau dipercayai telah dipindah milik kepada sebuah syarikat proksi.
Menurutnya, setakat ini, seramai 16 saksi terdiri daripada kakitangan kerajaan serta pemilik syarikat telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan terhadap kedua-dua kes berkenaan. – MalaysiaGazette















