PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan hari ini memerintahkan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan membayar ganti rugi RM250,000 kepada Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh kerana memfitnah beliau berkaitan gerakan Kristianisasi dalam satu forum, hampir enam tahun lalu.
Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Azimah Omar memutuskan demikian secara sebulat suara selepas membenarkan rayuan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) serta memerintahkan Musa membayar kos RM60,000.
Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Dr. Choo Kah Sing dan Datuk Dr. Shahnaz Sulaiman memutuskan Musa memfitnah Hannah selepas menolak semua pembelaan yang dikemukakan beliau.
Ketika membacakan penghakimannya lebih sejam setengah, Hakim Azimah berkata, Mahkamah Tinggi terkhilaf ketika membenarkan pembelaan responden bagi justifikasi, ulasan yang adil dan perlindungan bersyarat ketika mengeluarkan kenyataan terhadap Hannah.
Beliau yang kini Hakim Mahkamah Persekutuan berpendapat, hujahan mengenai kedudukan defendan sebagai bekas Ketua Polis Negara termasuk dakwaan beliau bebas bercakap mengenai perkara kepentingan negara atau agama, tidak memberikan kebebasan tanpa had (carte blanche) untuk membuat kenyataan tanpa berhati-hati dan bertanggungjawab.
“Meskipun Musa memegang jawatan yang berpengaruh, namun undang-undang tidak membenarkan individu yang mempunyai kuasa sedemikian menyebarkan perkara tidak benar.
“Undang-undang di Malaysia menekankan bahawa semua kenyataan awam, tanpa mengira status atau kuasa memberi ceramah, mesti dibuat secara bertanggungjawab dan akauntabiliti,” kata beliau.
Panel itu turut mempertimbang sifat kenyataan fitnah tersebut dan kesannya yang memudaratkan reputasi peribadi dan profesional perayu (plaintif) dan berpendapat jumlah global wajar diberikan kepada Hannah.
Mahkamah berpuas hati, tuduhan fitnah adalah serius, berniat jahat dibuat secara awam dan sangat merosakkan yang menunjukkan defendan bertindak secara cuai tanpa mengambil kira hak plaintif.
Hakim Azimah selanjutnya menyatakan, meskipun dalam pembelaannya Musa memanggil pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Zaman Yusoff untuk memberi keterangan, pensyarah itu bukan saksi pakar dan hanya memberikan pendapatnya.
Panel berpendapat, tiada bukti yang dikemukakan oleh defendan (Musa) bagi membuktikan dakwaannya berkaitan gerakan Kristianisasi.
Selain itu, kata hakim berkenaan, buku yang ditulis Hannah hanya berkaitan perjalanan peribadinya mendalami agama Kristian, bukan disasarkan kepada umat Islam mahupun memusnahkan agama tersebut.
Sehubungan itu, panel berkenaan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 23 Disember 2024 yang menolak saman pemimpin DAP tersebut.
Mahkamah Tinggi memutuskan kenyataan yang dibuat oleh Musa pada 2020 tidak berniat jahat terhadap beliau.
Bekas Menteri Belia dan Sukan itu turut diperintah membayar kos RM40,000.
Hakim bicara mempertimbang pembelaan Musa bahawa plaintif sendiri mengaku mengajar agama Kristian secara halus di Malaysia dan ingin menyebarkan agama melalui politik manakala bukunya ditujukan untuk semua orang, bukan hanya penganut Kristian.
Berdasarkan tuntutan saman yang difailkan pada 3 Julai 2020, Hannah mendakwa Musa memberi ucapan berbaur fitnah pada forum bertajuk “Wacana Isu Semasa Perjanjian Damai Hat Yai 1989: PKM Menyerah Diri?” di Universiti Teknologi Mara pada 30 Januari 2020.
Musa, 75, bagaimanapun menyatakan, ucapan itu disampaikan berdasarkan kepada siasatan risikan berkaitan isu-isu keselamatan negara melibatkan aktiviti komunisme. – MalaysiaGazette
















