Andy Tan Hum Wei.

KUALA LUMPUR – Pemuda Parti Gerakan Rakyat (Gerakan) menafikan sokongan supaya Tan Sri Muhyiddin Yassin menarik balik peletakan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN).

Setiausaha Agung Pemuda Gerakan, Andy Tan Hum Wei berkata, pertemuan pemangku Ketua Pemuda Gerakan bersama Muhyiddin semalam adalah atas jemputan rakan-rakan Pemuda di dalam PN semata-mata.

Katanya, ia bertujuan mendapatkan gambaran serta perkembangan semasa politik PN dan tidak membawa sebarang mandat atau keputusan rasmi organisasi.

“Pemuda Gerakan kekal berpegang kepada pendirian segala urusan dan keputusan berkaitan kepimpinan tertinggi PN hendaklah dibuat melalui saluran serta mekanisme rasmi parti oleh Presiden Nasional Gerakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas laporan media semalam berkenaan pendirian tiga ketua sayap pemuda parti komponen PN yang mencadangkan supaya Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terus kekal sebagai pengerusi gabungan itu.

Memetik kenyataan Ketua Pemuda Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), Justin Prabakaran selaku teraju utama yang akan memimpin PN dalam pilihan raya umum akan datang, jawatan Pengerusi PN mesti diisi oleh kepimpinan absah, inklusif, diterima oleh rakyat pelbagai kaum dan mempunyai track record diyakini rakyat.

Selain Justin, pertemuan itu turut dihadiri Ketua Armada Bersatu, Muhammad Hilman Idham dan pemangku Ketua Pemuda Gerakan, Lee Boon Shian.

Sementara itu, Andy berkata, Pemuda Gerakan menghormati saf kepimpinan sayap Pemuda PN yang dipimpin oleh Afnan Hamimi Taib Azamudden yang juga Ketua Pemuda Pas.

“Sebarang kenyataan atau tindakan selepas ini akan terus berpaksikan semangat setiakawan, serta komitmen untuk memelihara keutuhan dan kerjasama dalam kalangan rakan-rakan PN,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast