KUALA LUMPUR – Pengeluaran getah asli menurun 29.6 peratus pada November 2025 (20,891 tan metrik) berbanding pada Oktober 2025 (29,673 tan metrik).

Perbandingan tahun ke tahun menunjukkan pengeluaran getah asli menurun 48.2 peratus (November 2024: 40,341 tan metrik).

Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, pengeluaran getah asli Malaysia pada November 2025 disumbangkan terutamanya oleh pekebun kecil (83.3%) berbanding estet (16.7%).

Jumlah stok getah asli pada November 2025 menurun 17.3 peratus kepada 120,208 tan metrik berbanding 145,422 tan metrik pada Oktober 2025.

Kilang pemproses getah menyumbang stok akhir sebanyak 76.7 peratus diikuti kilang pengguna getah (23.1%) dan estet getah (0.1%).

Eksport getah asli Malaysia berjumlah 37,150 tan metrik pada November 2025, menurun 29.8 peratus berbanding Oktober 2025 (52,932 tan metrik).

Menurutnya,  China kekal sebagai destinasi utama untuk eksport getah asli, menyumbang 50.8 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada November 2025 diikuti Jerman (15.1%), Emiriah Arab Bersatu (12.5%), Amerika Syarikat (5.7%) dan Turkiye (2.2%).

Manakala prestasi eksport disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub dan benang getah.

Produk sarung tangan getah merupakan eksport utama dengan nilai sebanyak RM0.9 billion pada November 2025, menurun 25.8 peratus berbanding Oktober 2025 (RM1.2 billion).

Analisis perbandingan harga purata bulanan menunjukkan Lateks Pekat merekodkan peningkatan iaitu 0.4 peratus (November 2025: 571.93 sen sekilogram; Oktober 2025: 569.84 sen sekilogram) manakala Sekerap menurun 1.8 peratus (November 2025: 589.83 sen sekilogram; Oktober 2025: 600.44 sen sekilogram).

Trend harga bagi semua jenis Getah Mutu Malaysia (G.M.M) menurun 1.7 peratus dan meningkat 0.2 peratus.The World Bank Commodity Price Data melaporkan harga November bagi getah jenis TSR 20 (Technically Specified Rubber) menurun 0.2 peratus daripada
USD1.712/kg kepada USD1.708/kg dan SGP/MYS (Singapura/Malaysia) meningkat 1.4 peratus daripada USD2.00/kg kepada USD2.03/kg.

Menurut Malaysia Rubber Board Digest keluaran November 2025, pasaran getah Kuala Lumpur dibuka bercampur-campur pada November, dibebani oleh harga minyak yang lebih rendah, ringgit yang lebih kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan kebimbangan terhadap data ekonomi yang lebih lemah daripada AS dan China. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast