KUANTAN – Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada pasukan Ragbi Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSM Pahang) atas kejayaan bergelar juara kategori lelaki Kejohanan Ragbi Asia Tujuh Sebelah (7s) Bawah 19 Tahun (B-19).
Pasukan SSM Pahang yang mewakili Malaysia mempamerkan prestasi cemerlang dengan menewaskan pasukan King’s College dari Thailand dengan keputusan 27–17 pada perlawanan akhir.
Kejohanan itu berlangsung di Stadium Royal Thai Air Force, Bangkok, Thailand.
Menerusi hantaran di Facebook Kesultanan Pahang, Tengku Hassanal menzahirkan rasa bangga terhadap semangat juang, disiplin tinggi serta kerjasama berpasukan yang ditampilkan oleh para pemain muda SSM Pahang, sekali gus mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.
Pada kejohanan sama, pasukan wanita negara, Bunga Raya Girl yang dibarisi pemain-pemain terpilih daripada pelajar sekolah dan universiti tempatan turut mencatat pencapaian membanggakan apabila menamatkan kejohanan di kedudukan ketiga keseluruhan.
Tengku Mahkota Pahang turut menasihatkan para atlet muda agar terus mengekalkan sikap rendah diri, berdisiplin serta sentiasa berusaha meningkatkan prestasi diri, di samping menjadikan kejayaan ini sebagai dorongan untuk mencapai tahap yang lebih tinggi pada masa hadapan.
Tengku Hassanal berharap kejayaan yang diraih SSM Pahang dan Bunga Raya Girl dalam Kejohanan Ragbi Asia 7s B-19 ini dapat menjadi pemangkin kepada pembangunan berterusan sukan ragbi di peringkat sekolah dan akar umbi, sekali gus melahirkan lebih ramai atlet berpotensi yang mampu mengharumkan nama Pahang dan Malaysia di persada dunia. – MalaysiaGazette
















