ISKANDAR PUTERI – Seorang wanita mendakwa diugut dan dipukul teman lelakinya yang menuduh mencuri barang-barang milik kekasihnya itu dalam kejadian di Gelang Patah di sini bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, mangsa yang berusia 36 tahun mendakwa kekasihnya melakukan perbuatan itu sekitar pukul 10 malam, pada 28 Disember lalu.
“Mangsa mendakwa dipukul suspek iaitu lelaki tempatan berusia 35 tahun. Kejadian berpunca apabila suspek menuduh mangsa mencuri barang-barang milik suspek, namun dinafikan mangsa.
“Mangsa kemudian membuat laporan polis di Iskandar Puteri pada 10 Januari lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, hasil semakan mendapati suspek mempunyai rekod dikehendaki bersabit kes dadah.
Jelasnya, tindakan mengesan suspek sedang dijalankan dan kes disiasat bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan cedera secara sengaja tanpa senjata atau benda berbahaya
Katanya, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh sehingga satu tahun atau denda sehingga RM2,000, atau kedua-duanya.
Tambahnya, suspek turut disiasat bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menakutkan secara jenayah, jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.- MalaysiaGazette















