GEORGE TOWN – Polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah selepas merampas lebih dua kilogram (kg) serbuk methylenedioxymethamphetamine (MDMA) menerusi serbuan di sekitar bandar raya ini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, serbuan bermula kira-kira jam 10 malam kelmarin sehingga 3.50 pagi semalam itu turut membawa kepada tangkapan dua lelaki tempatan berusia 47 dan 53 tahun yang disyaki ahli sindiket.
“Kita berjaya merampas 130 paket plastik pelbagai warna yang setiap satu berisi serbuk disyaki dadah jenis MDMA seberat 2,078.2 gram bernilai RM347,000.
“Dalam serbuan sama, kita juga melakukan sitaan barangan termasuk tiga buah kenderaan, wang tunai dan sebentuk cincin bernilai RM277,800.
“Secara keseluruhan nilai rampasan dadah serta sitaan berjumlah RM624,800,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mengulas lanjut Abdul Rozak berkata, siasatan mendapati, sindiket terbabit dipercayai bergiat aktif dalam pengedaran dadah sejak Oktober tahun lalu bagi pasaran tempatan.
“Jumlah dadah yang dirampas dipercayai boleh digunakan oleh seramai 6,928 orang penagih,” katanya.
Tambah beliau, ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.
“Seorang suspek memiliki satu rekod lampau berkaitan jenayah dan seorang lagi memiliki tujuh rekod lampau berkaitan dadah
“Kedua-dua suspek telah direman selama seminggu bermula semalam sehingga 19 Januari depan bagi siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – MalaysiaGazette















