BUKIT MERTAJAM – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu Pulau Pinang berjaya merampas pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai RM131,650 di tepi jalan berdekatan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Juru, Lebuh Raya Utara–Selatan (PLUS) arah utara di sini, semalam.
Pada operasi kira-kira jam 2 petang bersama pasukan D9 Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Daerah Seberang Perai Tengah itu turut membawa kepada tangkapan seorang lelaki berusia 56 tahun.
Pemangku Komander PPM Wilayah Satu Pulau Pinang, Superintendan Fakharuddin Amri Sanusi berkata, serbuan itu dibuat selepas pihaknya mendapati terdapat aktiviti pengedaran mercun dan bunga api tanpa permit yang sah hasil daripada maklumat awam.
Katanya, pasukan yang melakukan pemeriksaan ke atas sebuah lori bonded sebelum menemui sejumlah kotak disyaki mengandungi mercun dan bunga api.
“Kita telah merampas 206 kotak pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai RM131,650 bersama sebuah lori bonded 5 tan yang dianggarkan bernilai RM80,000, menjadikan nilai keseluruhan rampasan RM211,650.
“Seorang lelaki ditahan kerana gagal mengemukakan sebarang lesen atau permit penyimpanan bahan letupan yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 iaitu memiliki, menyimpan atau mengawal bahan letupan tanpa kebenaran yang sah. – MalaysiaGazette
















