KUALA LIPIS – Pernah memadamkan hasrat untuk meneruskan pengajian ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) kerana faktor kewangan, Nur Zara Damia Yusaini, 13 bagaimanapun tidak pernah berputus asa berdoa agar menjadi ‘Budak MRSM’.
Anak ketiga kepada Yusaini Zainal,53, dan Sharizah Tukiman, 44, berkata, kisah pengalaman rakan sekampung yang berjaya melanjutkan pengajian menjadi insipirasi untuk menjejakkan kaki ke maktab itu akhirnya tercapai.
Sehingga saat-saat akhir pendaftaran Zara akur apabila ibu bapanya tidak berkemampuan untuk menghantarnya mendaftar ke MRSM selepas terbabit kemalangan dua tahun lepas.
Beliau memberi laluan kepada ibu bapa untuk menyelesaikan keperluan asrama kepada kakak dan abangnya yang belajar di Sekolah Menengah Sri Jengka, di Jengka dan namun takdir menyebelahinya.

“Rasa seronok dapat jumpa kakak-kakak dan abang di sini, lepas itu syukur sebab sudah lama teringin masuk MRSM, tidak sangka dapat tawaran ini.
“Saya berterima kasih kepada semua yang membantu dan terima kasih kepada mama dan papa yang berusaha membantu saya menghantar ke MRSM walaupun perbagai rintangan dihadapi.
“Semasa sekolah di sekolah rendah, banyak membantu menjaga mak ayah, jadi bila tahu dapat melanjutkan pengajian di sini saya rasa sedih kerana meninggalkan mereka tapi kena semangat,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Bercita -cita untuk untuk menjadi Ketua Polis Negara, cucu peneroka Felda Jengka 4 itu melangkah penuh harapan selepas hasratnya dapat mendaftarkan diri sebagai pelajar baharu Tingkat 1 di MRSM Tun Ghazali Shafie di Kuala Lipis, semalam.
Hasrat remaja itu tercapai selepas kisahnya ditularkan oleh seorang aktivis, Wan Ahmad Afiq Noordin Wan Mohd Nasserudin, 34, menerusi perkongsian di Facebook sehingga mendapat perhatian netizen.
Menurut Wan Ahmad Afiq, keprihatinan orang ramai menghulurkan bantuan berjaya mengumpul dana khusus buat Tokoh Murid HEM Sekolah Kebangsaan Jengka 4 itu dalam tempoh 12 jam.
Malah, katanya, nasib remaja itu turut mendapat perhatian Pengerusi Majlis Amaanah Rakyat (MARA) Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dasuki yang mengikuti perkembangan Zara.
Beliau berkata, niat awalnya hanya untuk berkongsi kisah Zara membantu menjaga kedua orang tuanya yang ditimpa kemalangan.

“Saya kagum dengan adik Zara, meski pun diuji dengan kesusahan beliau tidak pernah berhenti berusaha dan berjaya menjadi pelajar cemerlang.
“Bayangkan seusia Zara 10 tahun berjaya menggalas tanggungjawab menguruskan rumah dan adik selain menjaga orang tua yang terlantar tapi tetap belajar dengan baik.
“Bukan sahaja cemerlang yang lebih membanggakan beliau mencatatkan rekod kehadiran penuh ke sekolah, tidak pernah ponteng,” katanya.
Hasil sumbangan orang ramai termasuk yang diserahkan menerusi MalaysiaGazette membolehkan Zara membeli barang keperluan asrama dan membayar kos pendaftaran MRSM semalam.

Sementara itu, bapa Zara, Yusaini Zainal tidak dapat menahan sebak kerana tidak menyangka rezeki anaknya berjaya mendaftar ke maktab dalam keadaan dia belum pulih sepenuhnya dan memerlukan rawatan susulan.
“Saya dan isteri terlantar lebih dua tahun dan kini masih belum mampu bekerja, namun sangat bersyukur dengan bantuan dari keluarga, kerajaan negeri Pahang, Felda, MARA, orang kampung, dan semua pihak.
“Kami berusaha berjumat-cermat menggunakan sumbangan yang dihulurkan namun bila musim buka sesi persekolahan ini, selesai uruskan kakak dan abangnya di asrama dahulu.
“Namun sedia maklum kos permulaan untuk menghantar anak ke sekolah maktab agak tinggi, saya dan isteri tidak mampu namun kena berusaha cara untuk menghantar Zara,” katanya.

Beliau berterima kasih kepada semua pihak kerana kisah anaknya membuka mata semua yang senasib dengannya dan berharap tiada anak-anak yang tercicir daripada meneruskan pengajian kerana kemiskinan.
Yusaini turut menasihati ibu bapa supaya sedia berhubung dengan pihak pengurusan untuk memaklumkan keadaan keluarga jika terdapat sebarang masalah supaya dapat dibantu.
Sebelum ini kisah adik Zara tular kerana hampir menarik diri daripada mendaftarkan diri ke MRSM kerana keluarga tidak mampu menampung kos ke asrama itu. – MalaysiaGazette















