Shamsudin menunjukkan jumlah replika cek semasa melancarkan Program Biasiswa Pengajian Kritikal Negara di Cyberjaya baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Koperasi Pendidikan Malaysia Berhad (KPMB) dengan kerjasama Kolej Pengajian Keselamatan dan Penyiasatan Malaysia (KPKPM) melancarkan Program Biasiswa Pengajian Kritikal Negara di Cyberjaya baru-baru ini.

Ia satu inisiatif strategik bagi memperluaskan akses pendidikan berkualiti kepada pelajar daripada golongan asnaf, anak yatim dan kumpulan B40.

Majlis pelancaran tersebut telah disempurnakan oleh Pengerusi Koperasi Pendidikan Malaysia Berhad, Datuk Shamsudin Mat.

Menurut Shamsudin, inisiatif biasiswa itu mencerminkan komitmen berterusan KPMB dalam membantu meringankan beban kewangan ibu bapa dan penjaga di samping memastikan lebih ramai pelajar berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi dalam bidang yang kritikal kepada pembangunan negara.

“Pendidikan adalah pelaburan jangka panjang negara. Melalui kerjasama strategik ini, KPMB dan KPKPM beriltizam untuk menyediakan laluan pendidikan yang mampan, berdaya saing dan berorientasikan kebolehkerjaan,” katanya dalam kenyataan.

Bagi fasa permulaan, sebanyak RM15 juta telah diperuntuk sebagai dana pembiayaan pendidikan untuk menyokong pelajar-pelajar yang layak.

Antara bentuk bantuan yang disediakan termasuk elajar kategori asnaf dan anak Yatim melibatkan pembiayaan sebanyak RM16,450 atau 50% daripada yuran pendaftaran dan yuran pengajian peringkat diploma, membolehkan pelajar memulakan pengajian tanpa bayaran awal kepada kolej.

Pelajar daripada kumpulan B40 pula disediakan pembiayaan sebanyak RM9,600 atau 30% daripada yuran pengajian peringkat diploma dengan bayaran pendaftaran minimum.

Pada peringkat sijil, pembiayaan sehingga RM15,000 bagi setiap pelajar yang layak.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KPKPM, Dr. Farah Mazwina Abdul Hajis berkata, pihaknya komited menyediakan program pengajian yang berteraskan keperluan industri keselamatan dan penyiasatan, dengan penekanan kepada pembentukan disiplin, sahsiah serta kompetensi profesional melalui latihan praktikal yang komprehensif seperti latihan menembak, kawat, berkuda, seni pertahanan diri dan pengendalian anjing K9.

“KPKPM berperanan melahirkan modal insan yang kompeten, berintegriti dan bersedia memasuki alam pekerjaan. Kerjasama bersama KPMB ini memperkukuh usaha kami dalam memastikan akses pendidikan tidak terhalang oleh kekangan kewangan,” jelas beliau.

Pengurusan KPKPM turut memaklumkan pentadbiran kolej telah distruktur semula sepenuhnya bermula Ogos 2025 termasuk penambahbaikan tadbir urus, pengurusan akademik dan kerjasama strategik, bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan serta keyakinan masyarakat.

KPMB dan KPKPM menegaskan kedua-dua institusi merupakan entiti yang berdaftar, sah dan mematuhi sepenuhnya peraturan serta undang-undang yang ditetapkan, sekali gus menepis sebarang tohmahan negatif yang tidak berasas.

Pada masa hadapan, KPMB merancang untuk melaksanakan siri jelajah ke seluruh negara bagi memperluaskan maklumat berkaitan koperasi dan bantuan pendidikan selain merangka kemudahan kredit atau pinjaman mudah untuk manfaat anggota.

Program Biasiswa Pengajian Kritikal Negara dijangka memberi impak positif kepada pembangunan modal insan negara khususnya dalam melahirkan graduan berkemahiran tinggi yang mampu menyumbang kepada sektor keselamatan, penyiasatan dan perkhidmatan berkaitan.

“Sehubungan dengan itu, para pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berminat untuk memohon Biasiswa Program Pengajian Kritikal Negara boleh menghubungi talian 03-8084 9999 atau berhubung terus dengan Pegawai Unit Biasiswa di talian 012-368 9999.

Permohonan adalah tertakluk kepada syarat kelayakan dan kuota yang terhad, kata kenyataan yang sama. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast