SHAH ALAM – Sekretariat Gabungan NGO Melayu Islam hari ini menyerahkan memorandum bantahan cadangan projek ladang babi berskala besar didakwa berdekatan penduduk Melayu di Bukit Tagar, Selangor.
Presiden Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Syed Hassan Syed Ali berkata, memorandum itu bagi mendesak kerajaan negeri agar tidak meneruskan projek berkenaan yang dikhuatiri menjejaskan kesejahteraaan penduduk.
“Bahawa kami tidak berkopromi sama sekali kawasan-kawasan penduduk Melayu Islam menjadi sasaran untuk menjadi ladang-ladang babi dan kami akan bantah habis-habisan jika ia tetap diteruskan.
“Adalah amat tepat jika ingin mengusahakan ladang-ladang babi biarlah di kawasan majoriti penduduknya pemakan daging babi. Itu yang paling penting,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Terdahulu, seramai 37 NGO Melayu Islam hadir menyerahkan memorandum bantahan tersebut yang diterima oleh Pegawai Kanan Exco Infrastuktur dan Pertanian Selangor di Bangunan SUK Selangor sekitar pukul 3.27 petang.
Tambah Syed Hassan, pihaknya menentang sekeras-kerasnya cadangan untuk menjadikan Malaysia secara amnya di Selangor sebagai pengeksport daging babi sedangkan terdapat beberapa negeri lain sudah menjadi lokasi penternakan babi.
“Selangor ini adalah lokasi yang terkenal kawasan industri dan sudah maju dengan peluang pekerjaan dalam sektor industri yang memberi lebih banyak pekerjaan kepada penduduk bukannya perusahaan pertanian.
“Difahamkan di situ adalah kandang babi dan akan bekerja adalah warga asing seperti Nepal, Myanmar dan mereka orang luar yang tidak ada kena mengena akan duduk di penempatan tersebut,” jelasnya.

Sementara itu, seorang wakil penduduk Bukit Sentosa dikenali sebagai Shida turut membantah projek berkenaan di Bukit Tagar kerana ia berdekatan dengan kawasan perumahan penduduk.
Selain itu, menurutnya, ia tidak sesuai sebagi lokasi penternakan ladang babi memandangkan kepadatan penduduk yang tinggi selain kawasan sungai yang menjadi punca utama keperluan penduduk.
Sebelum ini media melaporkan, Exco Infrastuktur dan Pertanian Selangor, Datuk Ir Izham Hashim mendakwa ternakan babi di Selangor hanya mampu memenuhi 60 peratus keperluan buat golongan bukan Islam di negeri tersebut.
Atas dasar itu, beliau dilaporkan berkata, tidak timbul isu untuk mengeksport babi atau sebagainya.
Beliau juga berpendapat isu berkenaan hanya dipolemikkan bagi mencetuskan sensitiviti dalam kalangan masyarakat namun dalam masa sama menegaskan agar semua pihak tidak memainkan isu perkauman. – MalaysiaGazette
















