KUALA LUMPUR – Lebih 1.2 kilogram (kg) daging lembu dan kambing sejuk beku dirampas oleh Agesi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) KLIA dekat sini semalam.
AKPS dalam kenyataan berkata, rampasan itu dilakukan menerusi pemeriksaan di Zon Komersial Bebas (FCZ), Kargo KLIA sekitar pukul 7 malam.
“Hasil pemeriksaan mendapati satu komoditi keluaran pertanian berkenaan gagal mematuhi syarat permit import MAQIS apabila pihak pengimport tidak dapat mengemukakan sijil kesihatan asal yang sah dari negara pengeksport.
“Komoditi tersebut diimport dari Australia oleh sebuah syarikat tempatan, dengan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM134, 057.37,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 15(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) kerana gagal mematuhi syarat permit import yang ditetapkan.
Kesemua barangan rampasan telah ditahan bagi tindakan lanjut mengikut prosedur serta peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
“AKPS KLIA menegaskan komitmen berterusan dalam memastikan kawalan kemasukan barangan import ke negara ini sentiasa mematuhi perundangan serta tidak menjejaskan keselamatan, kesihatan awam dan kepentingan negara,” jelasnya. – MalaysiaGazette
















