KUALA LUMPUR – Permohonan maaf secara terbuka oleh wartawan Free Malaysia Today (FMT), Rex Tan, tidak boleh dijadikan alasan untuk menutup kes, sebaliknya tindakan tegas perlu diambil pihak berkuasa bagi memastikan isu yang menyentuh sensitiviti kaum dan keharmonian negara tidak berulang.
Pengerusi Jawatankuasa Orang Muda, Parti Pejuang Tanahair (Jom Pejuang), Akmal Yusoff berkata, permohonan maaf itu tidak memadai sekiranya tiada sebarang tindakan keras diambil sebagai teladan kepada seluruh rakyat Malaysia.
“Untuk itu, kami mengajak seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keamanan untuk membuat laporan polis bagi membolehkan tindakan diambil terhadap Rex Tan yang tak kenang dek untung ini,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, Rex Tan memohon maaf secara terbuka berhubung soalan yang dikemukakannya semasa ceramah awam bertajuk ‘Gaza Exposes the Complicity of International Actors’ pada 12 Januari lalu.
Dalam kenyataannya, Tan menyatakan rasa kesal terhadap soalan yang dirangka secara tidak wajar, selain mengakui ia kurang relevan dengan acara berkenaan serta gagal mengambil kira sensitiviti topik yang dibincangkan.
Beliau turut memohon maaf kerana menyebut kaum Cina dan Melayu dalam soalan itu, sambil menegaskan rujukan berkenaan tidak perlu dan sepatutnya dielakkan.
Dalam kenyataan media sama, Akmal mendakwa wartawan berkenaan telah menyamakan kedudukan masyarakat Cina di Malaysia dengan nasib rakyat Palestin yang hidup di bawah pendudukan ketenteraan, penindasan sistemik serta keganasan bersenjata Israel.
Menurutnya, perbandingan itu adalah tidak berasas dan berbahaya kerana memutarbelit realiti sejarah serta Perlembagaan Malaysia, selain berpotensi mencetuskan ketegangan, syak wasangka dan permusuhan antara kaum dalam negara berbilang etnik.
“Perbandingan ini adalah tidak berasas dan berbahaya, kerana ia memutarbelit realiti sejarah dan perlembagaan Malaysia, selain berpotensi mencetuskan ketegangan, syak wasangka dan permusuhan antara kaum,” katanya.
Jom Pejuang turut mendakwa keadaan menjadi lebih membimbangkan apabila semakin ramai golongan muda dilihat meminggirkan sejarah serta ‘kontrak sosial’ yang telah lama menjadi asas pembinaan negara.
Sehubungan itu, pertubuhan berkenaan menggesa pihak berkuasa mempertimbangkan beberapa peruntukan undang-undang sedia ada termasuk Akta Hasutan 1948 (Seksyen 3), Kanun Keseksaan Seksyen 504, 505 dan 298A, serta Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 berkaitan kawalan editorial dan tanggungjawab penerbitan.
Selain tindakan perundangan, Jom Pejuang turut menggesa Kementerian Perpaduan Negara serta kementerian berkaitan supaya menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti punca yang memungkinkan insiden sedemikian terus berulang.
“Kementerian perlu menyiasat perkara yang memungkinkan tindakan dan pemikiran kolot dan bodoh ini untuk berulang, memandangkan wartawan berkenaan adalah rakyat Malaysia dengan latar belakang pendidikan yang baik,” kata Akmal lagi. – MalaysiaGazette
















