Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar bercakap pada media berkenaan Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Daerah Shah Alam di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 28 NOVEMBER 2025.

KUALA LUMPUR –  Punca kejadian kebakaran kilang hingga menyebabkan tiga mangsa rentung di Olak Lempit, Kuala Langat pada Rabu lalu masih dalam siasatan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, pihaknya masih menunggu laporan forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi menentukan punca insiden itu.

“Kita masih tidak dapat tentukan lagi kerana bomba masih menjalankan forensik kebakaran dan masih menunggu outcome forensik bomba untuk berkongsi maklumat dan hala tuju seterusnya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah KLIA di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi berkata, tiga individu yang ditemui rentung dalam kebakaran itu disyaki warga  Rohingya.

Tambahnya, ketiga-tiga mangsa telah dihantar ke Hospital Banting bagi menjalani ujian perbandingan ujian asid deoksiribonukleik  untuk pengesahan identiti.

“Tiga individu telah tampil mengaku sebagai ahli keluarga kepada mangsa yang rentung dan kesemuanya merupakan etnik yang sama berdasarkan rujukan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

“Selepas keputusan DNA daripada Hospital Banting diperoleh, pihak polis akan memaklumkan identiti sebenar ketiga-tiga mangsa itu,” katanya dalam kenyataan.

Antara mayat yang ditemui rentung dalam kebakaran kilang di Olak Lempit, Kuala Langat pada Rabu lalu. FOTO JBPM Selangor

Pada 14 Januari lalu, sepasukan anggota JBPM telah dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan pada jam 10.03 malam melibatkan kebakaran empat kilang.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi, JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar dilaporkan berkata, semua mangsa ditemui di kilang iaitu sebuah gudang memproses minyak yang terbakar 100 peratus.

Pasukan bomba menemukan tiga mangsa itu ketika operasi memasuki peringkat ‘overhaul’ sekitar jam 2.30 pagi (Khamis). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast