KUALA LUMPUR  – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyambut baik hasrat Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) untuk mengiktiraf pegawai agensi itu dalam bidang teknologi.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, ia dapat membantu pihaknya untuk terus memperkukuh agenda integriti negara melalui pendekatan menyeluruh merangkumi penguatkuasaan, pencegahan serta pendidikan, dengan sokongan strategik MTOB menerusi pembangunan bakat dan kepakaran teknologi.

Beliau berkata, SPRM kini memberi penekanan kepada aspek tadbir urus, integriti serta pemerkasaan teknologi, termasuk penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI), keselamatan siber dan forensik digital bagi meningkatkan keberkesanan siasatan serta pendakwaan.

“SPRM sentiasa menyokong usaha pengiktirafan pegawai SPRM sebagai profesional bertauliah dalam pelbagai bidang teknologi, selaras dengan keperluan semasa agensi penguatkuasaan.

“Inisiatif ini dapat meningkatkan kompetensi, profesionalisme dan pembangunan kerjaya pegawai, selain menggalakkan pematuhan kepada standard profesional serta pembangunan berterusan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Azam, kerjasama itu juga membuka ruang kepada pelaksanaan program latihan, akreditasi dan pembangunan kemahiran teknikal, khususnya dalam bidang teknologi maklumat (ICT), keselamatan siber, forensik digital dan teknologi berkaitan sejajar dengan cabaran jenayah dan rasuah moden.

Terdahulu, beliau menerima kunjungan hormat daripada MBOT diketuai oleh Presidennya, Professor Emeritus Datuk Dr. Siti Hamisah Tapsir di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya hari ini.

Sementara itu, Dr. Siti Hamisah turut merakam penghargaan kepada SPRM kerana menyambut baik hasrat MBOT untuk mengiktiraf pegawai SPRM di dalam bidang teknologi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast