ISTANBUL -Iran keadaan kembali tenang di seluruh negara selepas beberapa hari rusuhan, sambil menyifatkan malam Khamis sebagai “malam paling tenang sejak rusuhan bermula”, dan menolak gesaan baharu untuk mengadakan protes yang dibuat dari luar Iran, lapor Press TV.
Ketua Polis Iran, Brig. Jen. Ahmadreza Radan berkata, tiada sebarang perhimpunan dilaporkan di seluruh negara walaupun terdapat seruan untuk rusuhan pada malam Khamis, sambil menambah “ketenangan telah dipulihkan selepas seminggu berlaku kekacauan” menjelang pagi.
“Dengan rahmat Tuhan dan kehadiran sedar rakyat, paku terakhir telah dipaku ke dalam keranda keganasan,” kata Radan.
Pihak berkuasa menyatakan “protes awal berhubung keadaan ekonomi telah meningkat menjadi rusuhan ganas yang melibatkan serangan terhadap harta awam dan pasukan keselamatan.”
Pihak berkuasa Iran turut mengumumkan beberapa penahanan berkaitan rusuhan di beberapa wilayah, termasuk Fars, Kerman, Hormozgan dan Golestan, sambil menyatakan senjata, bahan letupan dan peluru gred ketenteraan dirampas dalam operasi risikan.
Pegawai pertahanan dan keselamatan menuduh Amerika Syarikat dan Israel menyokong serta membiayai keganasan tersebut, dakwaan yang dinafikan oleh Washington dan Tel Aviv.
Protes anti-kerajaan bermula pada 28 Disember di ibu negara Tehran, apabila peniaga, pedagang dan pemilik perniagaan kecil mengadakan mogok serta demonstrasi bagi membantah kenaikan inflasi mendadak, kejatuhan nilai mata wang rial, serta kemerosotan keadaan ekonomi.
Sebuah pertubuhan hak asasi manusia berpangkalan di Amerika Syarikat mendakwa sekurang-kurangnya 2,677 orang terbunuh dalam protes tersebut dan hampir 19,100 orang ditahan, manakala pihak berkuasa Iran belum mengeluarkan angka rasmi setakat ini.
Demonstrasi itu kemudiannya merebak ke beberapa bandar lain dan meningkat menjadi luahan ketidakpuasan hati terhadap kerajaan, melibatkan pekerja, pelajar dan kumpulan masyarakat lain.
Pegawai kerajaan Iran menuduh Amerika Syarikat dan Israel menyokong apa yang mereka sifatkan sebagai “rusuhan” dan “keganasan.”
















