Gambar hiasan beras
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Penguat Kuasa Kawalselia Padi dan Beras Putrajaya berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran beras seludup apabila satu pemeriksaan ke atas sebuah premis pemborong beras di sini membawa kepada rampasan sebanyak 9,750 kilogram beras super import gred Thailand White Rice 5 peratus (TWR5), kira-kira jam 10.30 pagi, semalam.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata, berdasarkan risikan awal, hasil pemeriksaan mendapati pemborong terbabit disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran beras seludup dan mengesyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 7(2) dan Seksyen 20 Akta Kawalselia Padi dan Beras 1994 (Akta 522).

Dalam operasi berkenaan, pihak penguat kuasa turut menyita lesen borong beras, salinan invois serta dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia bagi membantu siasatan dan menjejaki modus operandi sindiket berkenaan.

Kesemua barang rampasan telah dibawa ke Ibu Pejabat Kawalselia Padi dan Beras Putrajaya untuk siasatan lanjut.

Jika sabit kesalahan, pemborong berkenaan boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 22(2) Akta Kawalselia Padi dan Beras 1994 [Akta 522], yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000.

Kawalselia Padi dan Beras Putrajaya menegaskan pihaknya akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan secara bersepadu bagi membanteras aktiviti penyeludupan dan penyelewengan beras yang bukan sahaja menjejaskan kestabilan bekalan dan harga pasaran, malah memberi kesan negatif kepada kepentingan pengguna serta pesawah tempatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast