KUALA LUMPUR – “Siapa yang saya nak serang dalam DAP, jawapannya mudah saja. Sesiapa sahaja yang melingkari ‘garis merah’ kita, demikian kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Muhamad Akmal Salleh.
Beliau menjawab pertanyaan mengenai peletakan jawatan sebagai Exco Melaka baru-baru ini untuk membolehkan beliau memberi fokus kepada perjuangan menentang DAP, yang disifatkannya sebagai musuh yang nyata.
Akmal yang memegang jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka menegaskan, tindakannya selama ini bukanlah satu serangan membuta tuli atau mencari publisiti murahan, sebaliknya ia dimulakan oleh DAP sendiri.
“Jadi bila mereka serang perkara ini, bacullah saya sebagai anak jantan, anak Melayu, kalau saya tak nak bercakap dan tidak mahu mempertahankan hak kita.
“Ramai tahu, saya memang tak suka DAP dari dulu lagi, tapi bila sudah ada kerjasama antara parti, saya cuba untuk nampak mereka baik, tapi tidak.
“Jujurnya, saya tidak ada masalah peribadi dengan DAP. Timbalan Exco saya pun DAP, YB Low Chee Leong. Beliau adalah orang yang saya rasa sangat memberikan komitmen untuk buat kerja, saya tak ada masalah pun dengan beliau.
“Kami tahu mana garis yang boleh dilangkaui dan mana yang tidak boleh. Itulah profesionalisme dalam kerja,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama MalaysiaGazette dalam menerusi program Skop MG.
Menepis dakwaan sebagai tukang cari gaduh, Akmal mencabar pihak luar supaya menyemak semula kronologi setiap pertelingkahan yang berlaku antaranya dengan pemimpin DAP sebelum ini.
“Saya tidak pernah memulakan sebarang serangan jika pihak lawan tidak terlebih dahulu menyentuh sensitiviti yang dianggap keramat bagi orang Melayu.
“Kalau DAP tidak bercakap isu yang sensitif, saya tak pernah serang mereka. Boleh tengok sendiri, apabila bergaduh dengan DAP adakah saya mulakan dulu?
“Tak ada. Saya tak pernah mulakan, saya hanya defend (pertahankan),” katanya.
Jelasnya lagi, sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia adalah tanggungjawabnya menjadi benteng kepada kepentingan agama, bangsa, dan Raja-raja.
“Setiap serangan balas yang dilemparkan adalah merupakan tanggungjawab moral yang perlu dipikul.
“Saya pertahankan perkara yang saya rasa perlu dipertahankan, terutama melibatkan agama, bangsa, dan raja-raja.
Mengulas mengenai keputusannya meletakkan jawatan sebagai Exco Kerajaan Negeri Melaka yang mengejutkan ramai pihak, Akmal mengakui lebih rela kehilangan kedudukan dan gaji lumayan daripada mengkhianati suara akar umbi.
“Saya bukan seorang ‘penjilat’ jawatan, sebaliknya seorang pejuang yang dilatih untuk berterus-terang seperti prinsip seorang doktor.
“Jika sesuatu bahagian itu sudah ‘busuk’ dan tidak boleh diubat, maka ia perlu dipotong demi menyelamatkan keseluruhan jasad parti.
“Tiada penipuan, kerana itu, saya tidak pandai cakap lain dalam perjuangan ini,” katanya. – MalaysiaGazette
















