KUALA LUMPUR – Majlis Solat Hajat Perdana Demi Najib 3.0 yang dianjurkan pada malam ini disifatkan manifestasi keinsafan, solidariti dan suara hati rakyat yang memohon keadilan buat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak agar beliau terus berada dalam lindungan serta rahmat Allah.
Penganjuran majlis berkenaan mencerminkan keazaman penyokong khususnya daripada UMNO dan Barisan Nasional (BN), yang kekal istiqamah mendoakan kesejahteraan, kekuatan dan pembelaan adil terhadap Najib selaras dengan prinsip keadilan Islam serta kedaulatan undang-undang negara.
Majlis itu turut diisi dengan ucapan dan tausiyah empat penceramah jemputan yang menyentuh peranan serta sumbangan signifikan Najib dalam landskap politik tanah air, termasuk jasa beliau memperkukuh UMNO dan BN sepanjang tempoh pentadbiran kerajaan terdahulu.
Empat penceramah tersebut ialah Mohd Shafiq Fhadly Mahmud, Yuktes Vijay, Zee How Tai serta Ustaz Mohd Shukri Samsudin yang bertindak sebagai imam dan pemimpin doa dalam majlis berkenaan.
Menurut Mohd Shafiq Fhadly, Najib wajar diberikan ruang sewajarnya untuk terus bersama kepimpinan dan akar umbi UMNO serta BN khususnya dalam mendepani cabaran politik semasa termasuk Pilihan Raya Negeri Melaka dan Johor yang bakal berlangsung.
“Najib merupakan aset strategik dan ramuan terbaik kepada kebangkitan semula UMNO dan BN. Pengalaman luas, kepimpinan berwibawa serta pengaruh beliau terbukti mampu menyatukan parti dan mengembalikan keyakinan pengundi,” katanya.
Beliau turut menegaskan, Najib kekal sebagai antara figura utama UMNO dan BN yang mempunyai keupayaan besar menarik sokongan akar umbi serta memperkukuh keyakinan rakyat terhadap hala tuju dan masa depan parti.
Dalam masa sama, Mohd Shafiq menzahirkan harapan agar semua proses perundangan yang masih berjalan berkaitan Najib dapat dilaksanakan secara adil, telus dan berlandaskan Perlembagaan dengan mengambil kira prinsip keadilan sejagat, ihsan serta kebijaksanaan dalam membuat keputusan.
Kesemua penceramah senada Najib masih menggunakan saluran perundangan yang sah untuk mendapatkan keadilan selaras dengan hak setiap warganegara memperoleh perbicaraan yang adil dan saksama sebagaimana dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.
Malah kesemua mereka turut menegaskan, tuntutan tersebut bukan bertujuan mencabar institusi kehakiman tetapi demi mengekalkan keyakinan rakyat terhadap sistem perundangan negara.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 26 Disember lalu memutuskan Najib bersalah atas 25 pertuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kuasa dalam perbicaraan berkaitan skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Hakim perbicaraan, Collin Lawrence Sequerah ketika mengumumkan keputusan berkata, mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap Najib melampaui keraguan munasabah.
Susulan itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.38 bilion terhadap Najib bagi pertuduhan salah guna kuasa, selain hukuman penjara lima tahun bagi setiap pertuduhan pengubahan wang haram.
Sekiranya gagal membayar denda tersebut, Najib akan dikenakan tambahan hukuman penjara selama 10 tahun.
Bagaimanapun, kesemua tempoh hukuman penjara itu diperintahkan berjalan serentak menjadikan jumlah keseluruhan hukuman penjara selama 15 tahun yang akan bermula selepas beliau selesai menjalani hukuman penjara berkaitan kes SRC International.
Pada 22 Disember lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Najib untuk menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Hakim Alice Loke Yee Ching membuat keputusan tersebut selepas meneliti hujahan dan membaca alasan penghakiman selama hampir sejam sekali gus memerintahkan Najib meneruskan baki hukuman penjara di Penjara Kajang sehingga tamat tempoh hukuman. – MalaysiaGazette
















