Akmal Nasrullah Mohd Nasir

KUALA LUMPUR – Anggaran Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) awalan bagi suku tahun keempat 2025 oleh Jabatan Perangkaan Negara (DOSM) yang dijangka berkembang sebanyak 5.7% pada suku keempat tahun 2025 memberi petunjuk awal mengenai prestasi semasa ekonomi negara.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran global dan persekitaran luaran yang tidak menentu, ekonomi Malaysia diunjurkan mencatat pertumbuhan 4.9% bagi tahun 2025, melebihi unjuran rasmi antara 4.0% hingga 4.8%.

Menurutnya, lonjakan aktiviti ekonomi pada tiga bulan terakhir 2025 memperlihatkan rentak pertumbuhan yang semakin rancak, didorong terutamanya oleh pengukuhan permintaan domestik, di samping peningkatan sektor perkhidmatan dan pembuatan.

Berdasarkan anggaran awal, pertumbuhan KDNK bagi tempoh Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) bagi tahun 2021 hingga 2025 dianggarkan sebanyak 5.2% setahun, melebihi anggaran awalan pencapaian seperti yang dinyatakan dalam dokumen Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).

“Pencapaian ini membuktikan keberkesanan hala tuju dan strategi Ekonomi Madani dalam mendepani ketidaktentuan cabaran global serta menstruktur semula ekonomi dan mengekalkan permintaan domestik yang mampan.

“Kejayaan lebih 170 inisiatif pembangunan sosioekonomi dalam tempoh RMKe-12 telah turut menyumbang kepada pencapaian ini,” katanya.

Selain itu, pertumbuhan ekonomi ini turut mencerminkan kesan pelaksanaan program bantuan tunai bersasar seperti Sumbangan Asas Rahmah (Sara) serta Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang telah mendorong kepada pengukuhan perbelanjaan isi rumah.

“Ini merupakan momentum positif bagi mencerminkan asas ekonomi Malaysia kekal kukuh dan berdaya saing. Tahun 2026 merupakan permulaan fasa pelaksanaan RMK13 dan Kementerian Ekonomi komited dalam memantine setiap inisiatif diterjemah kepada hasil yang nyata dan dirasai oleh rakyat secara keseluruhan,” ujarnya.

Akmal Nasrullah berkata, kerajaan yakin negara berada pada landasan yang tepat untuk merealisasikan aspirasi Ekonomi Madani melalui RMK13 dengan tema ‘Melakar Semula Pembangunan’ dan seterusnya mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast