KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan tidak boleh mendedahkan maklumat mengenai keberadaan pegawai-pegawai pemerintah di mana-mana kem tentera di negara ini demi keselamatan dan mengelak daripada ancaman musuh.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihaknya sentiasa berhati-hati dalam perkara tersebut sambil mengakui Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mempunyai banyak musuh dari luar pasukan keselamatan itu.
“Kita tak beritahu kita punya pegawai-pegawai pemerintah di mana-mana kem dalam negara, siapa pegang logistik, siapa pegang artileri, kita tak pernah beritahu kepada umum sebab kita ada banyak musuh.
“Dalam tentera ini, antara negara, kita sentiasa berhati-hati antara satu sama lain, kita nak tahu siapa jaga, tak boleh sebut negara sensitif, siapa yang terlibat.
“Kita nak tahu pergerakan dan sebagainya, banyak pihak pun nak tahu siapa jaga di Gemas, siapa jaga di Kuantan, siapa itu pemimpin-pemimpin tenteranya,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Pada 2 Januari lalu, Ketua Bersatu Port Dickson, Badrul Hisham Shaharin mendakwa wujud satu “ekosistem” kartel dalam ATM termasuk bahagian logistik dalam menyusun tender, bahagian sumber manusia menyusun kenaikan pangkat dan meletakkan orang mereka menerajui jawatan-jawatan penting.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled juga menegaskan, satu laporan polis dibuat bagi menyiasat dalang pendedahan tersebut.
“Kita kena faham betapa bahaya perkara ini. Awak buka (maklumat) kepada orang ramai untuk mengetahuinya. Siapa orang ini, apa jawatan dia, pergerakan dia, ini jadi isu keselamatan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















