KUALA LUMPUR – Seorang remaja perempuan berusia 13 tahun dilarikan individu tidak dikenali ketika berada dalam kenderaan yang diparkir di tepi jalan berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Sri Muda, Shah Alam, semalam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisiner Ramsay Embol berkata, bagaimanapun mangsa yang berada di dalam kereta jenis Perodua Viva ditemukan semula dekat tepi jalan berhampiran sebuah restoran dekat Seksyen 26, Shah Alam.
“Kejadian berlaku sekitar jam 7 malam dan mangsa telah meminta kunci kereta daripada bapanya untuk menghidupkan enjin kerana ingin duduk di dalam kereta.
“Mangsa yang duduk di bahagian belakang sedang leka bermain telefon kemudian suspek bertindak memasuki kereta itu dan hanya menyedari apabila kanak-kanak itu menjerit.
“Bagaimanapun, suspek tidak bertindak kasar dan hanya menyuruh mangsa diam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, mangsa tidak megalami sebarang kecederaan namun masih trauma dengan kejadian tersebut.
“Kenderaan yang ditemui telah diperiksa oleh Pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam untuk tindakan lanjut.
“Polis kini sedang giat mengesan suspek dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan iaitu mencuri kenderaan dan Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana melarikan kanak-kanak di bawah umur daripada jagaan yang sah di sisi undang-undang,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Ahmad Mokhsin Abdul Rahman di talian 011-17554394. – MalaysiaGazette
















