KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menegaskan, Kerajaan Madani kekal kukuh dan stabil meskipun terdapat perbezaan pandangan di kalangan anggota Kabinet sekali gus memastikan pentadbiran mampu memajukan negara serta mensejahterakan rakyat.
Beliau menekankan kestabilan kerajaan bukan sekadar simbol politik tetapi asas penting untuk melaksanakan dasar pembangunan dan projek yang memberi manfaat terus kepada rakyat.
“Walau apa pun perbezaan dalam kalangan kita, Kerajaan Madani terus kukuh dan stabil demi sebuah pentadbiran yang boleh memajukan negara dan mensejahterakan rakyat,” katanya di Facebook hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan semasa menghadiri majlis perasmian Sidang Parlimen Penggal Kelima, Parlimen ke-15 bersama rakan-rakan Jemaah Menteri pagi tadi.
Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Sultan Ibrahim hari ini berkenan berangkat merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-15 di Parlimen.
Anthnony yang juga Ahli Parlimen Seremban turut memuat naik gambar mesra bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.
Sebelum ini, Ahmad Zahid mendakwa terdapat satu puak dalam DAP yang kononnya tidak selari dengan kepimpinan utama parti dan bertanggungjawab terhadap kenyataan yang menyasarkan pemimpin UMNO termasuk bekas presiden parti, Datuk Seri Najib Razak.
Kenyataan itu ditepis Anthony yang menyifatkan dakwaan tersebut tidak masuk akal dan menegaskan, DAP tidak pernah mengeluarkan kenyataan seumpama itu.
Beberapa jam kemudian, Ahmad Zahid menarik balik kenyataan yang seolah-olah menggambarkan DAP mempunyai dua kem dengan menyatakan ia tidak berniat menyinggung parti tersebut.
Bercakap pada sidang media semalam, Presiden UMNO menjelaskan kenyataannya dibuat ketika ucapan penangguhan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 bagi memperjelas situasi dalam parti itu di mana terdapat segelintir pemimpin yang dilihat berbeza pendapat dengan pucuk kepimpinan DAP.
“Jika itu menyinggung DAP, saya menarik balik apa yang saya sebutkan itu, tetapi tidak langsung menjadi maksud saya untuk menggambarkan bahawa terdapat atau wujud dua kem di dalam parti berkenaan.
“Cuma mungkin terdapat perbezaan pendapat yang kecil (antara pemimpinnya) dan ini disebutkan juga oleh Datuk Seri Johari Ghani dan Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan bahawa kita tidak seharusnya mengambil pandangan daripada kumpulan yang berbeza pendapat dengan kepimpinan utama DAP.
“Terutamanya apabila ia bukan pendirian daripada parti itu atau pendirian rasmi daripada parti itu. Jadi, ini diharapkan dapat difahami,” katanya. – MalaysiaGazette
















