Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJM) mengecam sekeras-kerasnya tindakan seorang pemimpin sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang didakwa melakukan intimidasi secara terbuka terhadap seorang wartawan pada satu sidang akhbar yang dihadiri seorang menteri, Isnin lalu.

Setiausaha Agung NUJ, Teh Athira Mohd Yusof berkata, wartawan terbabit merupakan ahli NUJM dan insiden itu berlaku selepas beliau mengemukakan soalan berkaitan satu kejadian di sebuah negeri.

“NUJM memandang serius kejadian berkenaan apabila individu berpangkat tinggi itu bertindak mempertikai dan mempersoalkan soalan wartawan tersebut meskipun pertanyaan itu telah dijawab dengan baik dan berhemah oleh menteri yang hadir,” katanya.

Menurut Teh Athira, tindakan tersebut jelas tidak wajar serta bercanggah dengan etika profesional dan prinsip kebebasan media.

“Tindakan sedemikian jelas tidak wajar, tidak profesional dan bercanggah dengan prinsip kebebasan media,” katanya.

Lebih membimbangkan, NUJM dimaklumkan individu kenamaan terbabit bertindak menarik kad media wartawan berkenaan secara kasar sejurus menteri meninggalkan sidang akhbar di hadapan pengamal media lain.

“Perbuatan ini bukan sahaja bersifat intimidasi, malah boleh ditafsirkan sebagai cubaan menakut-nakutkan wartawan dalam menjalankan tugas rasmi,” katanya lagi.

NUJM turut memaklumkan tindakan berkenaan mengejutkan kakitangan agensi terbabit sendiri yang berada di lokasi kejadian.

Setakat ini, NUJM dimaklumkan tiada sebarang permohonan maaf atau penjelasan rasmi serta setimpal dikemukakan oleh individu terbabit kepada wartawan berkenaan kecuali permohonan maaf daripada kakitangan agensi yang menyaksikan insiden tersebut.

“NUJM menegaskan, sebarang bentuk intimidasi, ancaman atau penyalahgunaan kuasa terhadap wartawan di lapangan adalah sama sekali tidak boleh diterima,” katanya.

Menurut Teh Athira, wartawan menjalankan tugas berdasarkan tanggungjawab profesional dan arahan editorial bukan untuk menyenangkan mana-mana pihak berkepentingan.

NUJM turut mengingatkan peranan media sebagai pemantau kuasa dan sumber maklumat kepada rakyat merupakan tunjang kepada sistem demokrasi dan sebarang tindakan tidak beretika oleh mana-mana kenamaan kerajaan bukan sahaja mencabuli kebebasan media malah mencemarkan imej Kerajaan Madani.

Sehubungan itu, NUJM menuntut penjelasan daripada pihak agensi terbabit kepada wartawan berkenaan serta menggesa kerajaan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan kejadian seumpama ini tidak berulang.

“NUJM tidak akan berkompromi terhadap sebarang cubaan menekan, mengugut atau menghalang wartawan daripada menjalankan tugas mereka dengan bebas, selamat dan beretika,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast