KUALA LUMPUR – Seramai lima juta penerima Sumbagan Tunai Rahmah (STR) meliputi 3.7 juta isi rumah dan 1.3 juta warga emas tiada pasangan akan menerima antara RM100 dan RM500 mengikut kelayakan masing-masing.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penambahbaikan STR yang kini disepadukan dengan pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) memastikan golongan layak menerima bantuan lebih konsisten dan berkesinambungan dalam memenuhi keperluan asas.
“STR disediakan sebagai bantuan tambahan secara suku tahunan untuk memberi ruang kewangan pada waktu puncak seperti musim perayaan manakala SARA berfungsi sebagai sokongan asas bulanan yang stabil,” katanya menerusi kenyataan yang dimuat turun di media sosial.
Menurut Anwar, kerajaan sentiasa memastikan setiap rakyat dapat hidup bermaruah tanpa ada yang terpinggir dalam mengharungi tekanan kos sara hidup.
“Saya berharap bantuan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh para penerima,” ujarnya.
Sebagai rekod, pembayaran STR Fasa 1 tahun ini mula disalurkan hari ini.
Sebanyak RM1.1 bilion diperuntukkan untuk bantuan tersebut. -MalaysiaGazette
















