Fahmi pada sidang media pada Majlis Pelancaran Kenderaan Autonomi Pos Malaysia di Kuala Lumpur hari ini.

SHAH ALAM – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil membidas tindakan pemimpin pemimpin sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang didakwa mengasari seorang wartawan secara terbuka ketika sidang akhbar pada Isnin lalu.

Katanya, tindakan berkenaan tidak sepatutnya berlaku kerana wartawan berhak mengajukan apa-apa soalan kepada menteri.

“Wartawan mempunyai hak untuk bertanya apa-apa soalan, tidak menjadi masalah dan yang menerima soalan tidak boleh berlaku kasar dan tidak boleh mengapa-apakan wartawan itu satu keutamaan bagi saya.

“Untuk mana-mana menteri, timbalan menteri, pimpinan malah juga pihak pengurusan tertinggi GLC atau GLIC perlu ada satu sikap yang lebih terbuka memandangkan kita berhasrat untuk memastikan media dapat beroperasi dengan bebas,” katanya ketika sidang media pada Majlis Pelancaran Kenderaan Autonomi Pos Malaysia di sini hari ini.

Justeru Fahmi akan menghubungi pegawai kanan GLC yang terlibat untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut berhubung kejadian sehingga mencetuskan ketidakpuasan hati Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJM).

Dalam masa yang sama, beliau akan memberi nasihat kepada pegawai kanan itu.

Semalam, NUJM menerusi kenyataan mengecam tindakan seorang pemimpin sebuah GLC yang didakwa melakukan kekasaran  secara terbuka terhadap seorang wartawan pada satu sidang akhbar yang dihadiri seorang menteri baru-baru ini.

Difahamkan, insiden itu berlaku selepas wartawan berkenaan yang juga ahli NUJM mengemukakan soalan berkaitan satu kejadian di sebuah negeri.

Tegas kesatuan berkenaan, tindakan tersebut jelas tidak wajar serta bercanggah dengan etika profesional dan prinsip kebebasan media.

Sementara itu, Fahmi menyerahkan kepada polis melaksanakan siasatan sewajarnya terhadap bekas  wartawan sebuah portal, Rex Tan yang berhubung soalannya kepada ahli politik United Kingdom (UK), George Galloway dalam wacana terbuka Gaza Expose The Complicity of International Actors.

Jelasnya, siasatan di bawah Akta Hasutan tidak bercanggah dengan prinsip kebebasan dan hak bersuara.

“Tidak (langgar hak kebebasan) kerana undang-undang sedia ada terpakai dan sekiranya ada aduan maka pihak berkuasa perlu melaksanakan tugas berdasarkan undang-undang.

“Sekiranya pihak berkuasa tidak mengambil tindakan, ia memberi gambaran seolah-olah ada kekebalan  dan pilih kasih. Itu juga bukan satu signal yang baik,” katanya lagi.

Dalam masa yang sama, Fahmi menyeru supaya semua pihak tidak memberi respon yang berlebihan sehingga mengugut bekas wartawan itu dan keluarganya.

“Jangan kita berlebih-lebihan dalam menghukum orang, biar polis siasat. Polis berdasarkan undang-undang memang berhak dan berkuasa untuk mengambil tindakan,” katanya lagi.

Sebelum ini, media melaporkan, Rex Tan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, pada 17 Januari susulan tiga laporan polis yang dibuat terhadapnya.

Lelaki itu kemudian dilepaskan dengan jaminan polis pada hari yang sama.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast