Wisma Putra, Kementerian Luar Negeri

KUALA LUMPUR – Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan pencerobohan Israel ke atas ibu pejabat Agensi Bantuan dan Kerja untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA), termasuk perobohan premis UNRWA di Sheikh Jarrah, Baitulmaqdis Timur, semalam.

Wisma Putra dalam kenyataannya menyifatkan tindakan itu satu pencabulan serius terhadap undang-undang antarabangsa serta prinsip kemanusiaan sejagat yang melindungi operasi bantuan kepada rakyat Palestin.

“Israel mempunyai obligasi di bawah undang-undang antarabangsa untuk memastikan saluran bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin tanpa sekatan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), terutamanya UNRWA, organisasi antarabangsa dan Negara Anggota PBB,” katanya.

Tegas kenyataan itu, Israel sepatutnya melindungi semua petugas kemanusiaan dan perubatan yang berkhidmat di wilayah Palestin tanpa sebarang ancaman atau gangguan.

Israel juga berkewajiban memastikan hak keistimewaan dan kekebalan PBB, termasuk premis, harta benda dan kakitangan PBB dipertahankan.

Kewajiban itu selaras dengan Pendapat Nasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bertarikh 22 Oktober 2025, yang memperkukuh tanggungjawab Israel di bawah kerangka undang-undang antarabangsa.

Sehubungan itu, Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa untuk bertindak tegas dengan mengenakan akauntabiliti terhadap Israel atas pencabulan undang-undang antarabangsa yang berterusan.

“Ini termasuk pelanggaran Piagam PBB, Konvensyen PBB Mengenai Keistimewaan dan Kekebalan 1946 serta resolusi-resolusi PBB berkaitan. Impuniti ini harus dihentikan,” tegas Wisma Putra lagi.

Media antarabangsa melaporkan Israel merobohkan beberapa struktur di dalam kompleks agensi pelarian Palestin PBB di Baitulmaqdis Timur selepas merampas tapak itu tahun lalu.

Jentolak merobohkan bangunan besar serta beberapa struktur kecil dalam kompleks Agensi Bantuan dan Kerja PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA) yang sebelum ini menempatkan puluhan kakitangan agensi itu.

Tindakan itu dikecam agensi berkenaan sebagai pelanggaran undang-undang antarabangsa.

Bagaimanapun UNRWA, yang dituduh berat sebelah oleh Israel, tidak lagi menggunakan bangunan itu sejak awal tahun lalu selepas Israel mengarahkan agensi itu mengosongkan semua premisnya dan menghentikan operasi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast