Muhammad Faizzuddin Mohd Zai
Muhammad Faizzuddin Mohd Zai

KUALA LUMPUR – Gagasan ‘Rumah Bangsa’ yang diketengahkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi disifatkan sebagai helah politik bagi membantu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengukuhkan sokongan undi Melayu menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

Naib Ketua Dewan Pemuda Pas Selangor, Muhammad Faizzuddin Mohd Zai berkata, idea berkenaan sebenarnya mencerminkan realiti kekuatan UMNO yang semakin terhad dalam landskap politik semasa.

Menurutnya, konsep perpaduan yang dibawa UMNO lebih menjurus kepada usaha mengekalkan kestabilan politik Kerajaan Perpaduan diterajui Pakatan Harapan (PH), tanpa menggugat kedudukan perdana menteri.

“Perpaduan versi UMNO secara jelas bertujuan memastikan kestabilan politik kerajaan PH dengan mandat sedia ada serta tidak mencabar pentadbiran PMX.

“Sedangkan agenda DAP seperti ‘Malaysian Malaysia’ dan ‘negara sekular’ jelas bertentangan dengan agenda Islam serta kepentingan bumiputera,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jumaat lalu, Ahmad Zahid ketika ucapan dasar Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa bagi membuka ruang penyertaan semula bekas ahli serta individu yang belum atau pernah meninggalkan UMNO.

Beliau turut mencadangkan penubuhan Musyawarah Nasional bagi membincang dan mengurus agenda politik Melayu merangkumi isu agama Islam, politik, ekonomi, pendidikan, perpaduan serta masa depan generasi bangsa.

Mengulas lanjut, Muhammad Faizzuddin berkata, istilah ‘perpaduan’ sering dilaungkan dalam politik Malaysia, namun realitinya hala tuju Pas dan UMNO pasca PAU bergerak pada landasan yang berbeza dari segi matlamat dan kekuatan sebenar.

“Pas mengangkat perpaduan sebagai strategi untuk menewaskan PH yang terbukti gagal mentadbir negara dengan baik.

“Dalam kerangka falsafah Pas, perpaduan bukan sekadar strategi politik, sebaliknya satu keperluan bagi memastikan hala tuju negara terus berpaksikan kuasa politik umat Islam dan orang Melayu, di samping meraikan realiti masyarakat majmuk,” katanya.

Beliau turut menegaskan Pas kini muncul sebagai parti tunggal terbesar di Dewan Rakyat dengan jumlah Ahli Parlimen paling ramai, selain memiliki asas kuasa kukuh di beberapa negeri melalui mandat mentadbir.

Sebaliknya, UMNO disifatkan berada dalam keadaan semakin lemah dan defensif apabila jumlah ahli Parlimennya merosot dengan ketara, selain kelangsungan politiknya bergantung sepenuhnya kepada Kerajaan Perpaduan.

“Satu berpaksikan perubahan dan peluasan kuasa demi survival politik Melayu dan Islam pada masa hadapan, manakala satu lagi berpaksikan kestabilan pentadbiran PH serta survival politik segelintir pemimpin UMNO.

“Persoalannya, siapa yang benar-benar memiliki kekuatan untuk menterjemahkan perpaduan kepada dasar yang konsisten, prinsip yang teguh dan keberanian mencorak peta politik masa depan negara.

“Lebih menarik, idea ini dizahirkan dalam PAU selepas pertuduhan terhadap Presiden UMNO dikategorikan sebagai ‘NFA’,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast