KUALA LUMPUR – Seramai 31 pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ditauliahkan sebagai Pegawai Pengendali Ujian Saringan Awal oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam usaha SPRM memperkukuh tahap integriti dan profesionalisme warganya.
Pengarah Bahagian Kecemerlangan dan Profesionalisme (BCP) SPRM, Syed Mohd Termizi Syed Musa berkata, pentauliahan itu membolehkan SPRM memiliki aset modal insan yang berkeupayaan mengendalikan ujian saringan air kencing secara mandiri, profesional dan diiktiraf.
Beliau berkata, inisiatif berkenaan menghantar mesej jelas bahawa SPRM tidak berkompromi terhadap penggunaan dadah serta sebarang pelanggaran integriti dalam kalangan pegawainya.
“Pegawai yang ditauliahkan akan digerakkan untuk melaksanakan ujian saringan secara berkala dan mengejut di bahagian serta pejabat negeri tanpa sebarang kompromi atau pilih kasih,” katanya.
Beliau berucap pada Majlis Pentauliahan Program Tempat Kerja Bebas Dadah (TEKAD): Pentauliahan Pengendalian Ujian Saringan Awal Air Kencing Pegawai SPRM Tahun 2025 di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya hari ini.
Majlis sama menyaksikan penyampaian Sijil Pencapaian Ujian Kompetensi Latihan untuk Penyelia TEKAD oleh Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Zainudin Abdullah dan disaksikan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Datuk Indera Junipah Wandi.
Turut hadir, Pengarah Bahagian Pencegahan AADK, Mahadzir Elias.
Sementara itu, Syed Mohd Termizi menambah, pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) perlu diberi penekanan bagi memastikan kesahihan bukti, khususnya sekiranya ujian saringan membawa kepada tindakan tatatertib atau prosiding mahkamah.
Dalam pada itu, beliau berkata, program berkenaan merupakan langkah proaktif SPRM dalam menangani risiko penyalahgunaan dadah yang berpotensi mendorong kepada jenayah rasuah, selaras dengan peranan SPRM sebagai agensi utama pencegahan rasuah negara. – MalaysiaGazette
















