Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri mengenai Kos Penjagaan Kesihatan Swasta (JBMKKS) dipengerusikan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad hari ini.

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang merangka pelan perlindungan asas insurans atau takaful perubatan dan kesihatan (MHIT) sebagai sebahagian usaha menyusun semula kos penjagaan kesihatan swasta yang semakin meningkat.

Perkara itu diputuskan menerusi mesyuarat Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri mengenai Kos Penjagaan Kesihatan Swasta (JBMKKS) dipengerusikan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad hari ini.

Amir Hamzah berkata, pelan asas berkenaan bertujuan memastikan orang ramai masih mempunyai akses kepada perlindungan perubatan swasta yang munasabah khususnya bagi individu yang terkesan akibat pelarasan premium atau perubahan pelan sedia ada.

“Langkah ini memberi ruang kepada pengguna mendapatkan perlindungan minimum yang wajar di samping menggalakkan penawaran produk yang lebih mampan oleh syarikat insurans dan pengendali takaful,” katanya selepas mesyuarat di Sasana Kijang di sini petang ini.

Menurut Amir Hamzah, antara fokus utama inisiatif itu ialah mewujudkan garis asas industri merangkumi skop perlindungan, penetapan premium serta amalan pengunderaitan dan tuntutan supaya lebih telus dan mudah difahami pengguna.

Inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada Inisiatif Kawalan Inflasi Perubatan (RESET) iaitu kerjasama merentas agensi melibatkan Kementerian Kewangan, Kementerian Kesihatan, BNM, ahli akademik serta pihak berkepentingan industri dan pengguna.

Selain itu, JBMKKS turut bersetuju memperkenalkan alat sokongan bagi membantu pengguna membuat keputusan kewangan berkaitan kesihatan termasuk Panduan Mudah MHIT dan Kalkulator Persediaan Insurans atau Takaful bagi Kemasukan ke Hospital dan Pembedahan (HSIT).

Amir Hamzah berkata, inisiatif berkenaan membolehkan orang ramai menilai keperluan perlindungan, memahami proses tuntutan serta merancang belanjawan peribadi dengan lebih tersusun.

Bagi meningkatkan ketelusan pasaran, kerajaan juga telah menerbitkan julat kos penanda aras bagi prosedur perubatan lazim di hospital swasta sebagai rujukan kepada pengguna.

Dalam masa sama, JBMKKS bersetuju memperkenalkan insentif cukai kepada pengendali hospital swasta yang menubuhkan dana kebajikan bagi membiayai rawatan kepada pesakit kurang berkemampuan.

Dalam pada itu, Dr Dzulkefly pula menyifatkan RESET sebagai pendekatan menyeluruh yang mengimbangi keperluan mengawal inflasi perubatan tanpa menjejaskan kualiti rawatan.

“Dengan memberi keutamaan kepada penjagaan berasaskan nilai, usaha ini memastikan hasil kesihatan rakyat terus menjadi teras, di samping memastikan rawatan kekal mampu diakses dalam jangka panjang,” ujarnya.

BNM memaklumkan kertas putih mengenai pelan MHIT dibangunkan bagi menyokong objektif dasar awam termasuk memperluas perlindungan kewangan asas serta memperkukuh peranan pelengkap antara sektor kesihatan awam dan swasta.

Menurut BNM, reka bentuk pelan berkenaan mengambilkira maklum balas libat urus bersama pihak berkepentingan dan kumpulan pengguna selain analisis data terperinci bagi memastikan kesesuaian dengan keperluan pasaran.

Pelan MHIT asas itu, jelas BNM, tidak menggantikan sistem penjagaan kesihatan awam yang terus menyediakan Perlindungan Kesihatan Sejagat, sebaliknya memberi pilihan tambahan kepada rakyat untuk mendapatkan rawatan di sektor swasta secara lebih mampu milik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast