KUALA LUMPUR – Isteri ketiga bekas Panglima Tentera Darat (PTD), Salwani Anuar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan wang berjumlah RM77,000.
Pasangan Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, 58, itu berkerusi roda ke mahkamah kerana serangan bisul yang kronik di bahagian paha, didakwa melakukan kesalahan tersebut di CIMB Bank Cawangan Bukit Damansara pada waktu berlainan.
Pertuduhan pertama, Salwani, 27, selaku Pengawal Syarikat Wany Venture didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram iaitu wang berjumlah RM50,000 yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Islamic Bank Berhad milik syarikat itu.
Perbuatan didakwa dilakukan di antara 24 November dan 28 November 2024 di bank berkenaan cawangan Bukit Damansara di sini.
Bagi pertuduhan kedua, wanita itu didakwa melakukan perbuatan sama melibatkan wang berjumlah RM7,000 yang dimasukkan ke dalam akaun serupa milik syarikat itu pada 4 Disember 2024 di cawangan tersebut.
Pertuduhan ketiga pula, Salwani didakwa melakukan perbuatan itu melibatkan wang RM10,000 yang dimasukkan ke dalam akaun bank sama pada 25 Januari tahun lalu di lokasi serupa.
Pertuduhan keempat, dia didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram iaitu wang berjumlah RM10,000 yang dimasukkan ke dalam akaun sama pada 25 November tahun lalu di bank berkenaan.
Salwani didakwa di bawah Subseksyen 4(1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 [Akta 613] dan dibaca bersama Seksyen 87(1)(a) akta yang sama dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta serupa.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta yang mana lebih tinggi.
Hakim Rosli Ahmad membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan dua penjamin serta memerintahkankannya melapor diri di pejabat SPRM Wilayah Persekutuan pada minggu pertama setiap bulan manakala pasport diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan hingga kes selesai.
Beliau menetapkan 30 Mac ini bagi sebutan kes dan penyerahan dokumen.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin mencadangkan jaminan di antara RM30,000 dan RM50,000 dengan dua penjamin.
Beliau yang juga Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Perundangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut memohon pasportnya ditahan sebagai syarat jaminan kerana wujud kebarangkalian tertuduh melarikan diri.
Terdahulu, mahkamah membenarkan Salwani duduk di kadang tertuduh semasa pertuduhan dibacakan terhadapnya selepas peguam Fahmi Abdul Moin memaklumkan anak guamnya mengalami kesakitan di paha akibat penyakit bisul yang kronik.
Pasukan pembelaan memohon jaminan dikurangkan kepada RM20,000 atas alasan anak guamnya masih menanggung ibu bapa.
Ketika ditanya hakim, Salwani menjelaskan rakannya dari kampung yang turut menjalankan perniagaan secara dalam talian, akan menyediakan wang jaminan.
Pada prosiding itu, mahkamah turut membenarkan permohonan pasukan pendakwaan supaya kes itu dipindahkan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi yang mendengar kes suaminya bertujuan untuk menjimatkan masa mahkamah.
Wan Shaharuddin menyatakan, kes Salwani melibatkan saksi yang sama manakala wanita itu juga akan didakwa di Mahkamah Sesyen di Terengganu atas kes berlainan.
“Pihak pendakwaan mencadangkan kes Salwani digabung dengan kes Muhammad Hafizuddeain kerana pertuduhan terhadap suaminya melibatkan jumlah yang besar selain untuk menjimatkan masa mahkamah,” ujarnya.
Selain Wan Shaharuddin, pasukan pendakwaan turut diwakili oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat, Farah Yasmin Salleh, Natrah Fareha Rahmat, Muhammad Asraf Mohamed Tahir dan Maziah Mohaide.
Terdahulu, Muhammad Hafizuddeain didakwa di hadapan Azura atas empat pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram lebih RM2.12 juta.
Pada 7 Januari lalu, SPRM menerusi Ops Parasit telah menahan seorang pegawai kanan bersama dua isterinya berkaitan projek perolehan tender Tentera Darat.
Keesokannya, pegawai itu direman selama tujuh hari manakala kedua-dua isterinya masing-masing direman tiga dan enam hari.
Pada 23 Disember tahun lalu, sepasukan pegawai SPRM hadir ke Kementerian Pertahanan untuk memulakan siasatan awal terhadap beberapa projek membabitkan Tentera Darat sejak 2023. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
















