HELSINKI, Finland – Seorang lelaki warga emas berusia kira-kira 80 tahun ditemui dalam “keadaan fizikal yang uzur” selepas didapati tinggal sekurang-kurangnya selama 20 tahun di sebuah ruang bawah tanah tanpa tingkap dan tidak mempunyai tandas atau dapur, menurut polis Finland .

Dua lelaki dan seorang wanita, masing-masing berusia sekitar 60 tahun, telah ditahan tetapi kemudian dibebaskan.

Polis menambah, suspek-suspek tersebut mengenali mangsa tetapi tidak mempunyai hubungan kekeluargaan.

Polis telah melancarkan siasatan untuk menentukan sama ada individu-individu lain yang tinggal di rumah yang sama di Helsinki telah “melakukan pemerdagangan manusia, mengeksploitasi keadaan pergantungan lelaki itu dan menempatkannya dalam keadaan yang menjatuhkan maruah, berkemungkinan untuk keuntungan kewangan”.

Lelaki tersebut ditemui di sebuah rumah di daerah utara ibu negara Finland semasa pemeriksaan polis pada hari Isnin dan didapati “memerlukan bantuan segera”.

Ruang bawah tanah tempat dia tinggal merupakan “sebuah bilik tanpa tingkap, tanpa akses kepada kemudahan mandi, tandas, atau keupayaan untuk menyediakan makanan.

“Dia telah tinggal dalam keadaan ini sekurang-kurangnya selama 20 tahun,” kata Ketua Inspektor Jari Korkalainen, yang mengetuai siasatan itu, kepada AFP, sambil menyifatkannya sebagai “satu kes yang luar biasa”.

Katanya, tahap kesihatan lelaki tersebut juga merosot.

Polis memaklumkan bahawa lelaki itu kini “berada di bawah jagaan pihak berkuasa yang berkaitan”. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast