Dua individu termasuk seorang pegawai kanan TLDM direman untuk siasatan rasuah.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan reman dua individu, seorang pengarah syarikat dan seorang lagi egawai kanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kerana disyaki terlibat rasuah bagi mengesyor dan melantik syarikat kroninya mendapatkan kerja-kerja di tempat pegawai kanan tersebut bekerja.

Perintah reman selama tujuh hari sehingga 29 Januari 2026 terhadap kedua-dua suspek telah dikeluarkan Majistret A. Hafiizh Abu Bakar selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Tinggi Ipoh, Perak, pagi tadi.

Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 40 dan 50-an telah ditahan kira-kira jam 6.50 petang dan 9.40 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Ipoh, Perak.

“Kedua-dua suspek dipercayai bersubahat melakukan perbuatan tersebut sejak tahun 2017 sehingga 2020.

“Siasatan awal turut mendapati suspek yang merupakan pegawai kanan TLDM disyaki memiliki harta melebihi jumlah emolumen yang diterima seperti pemilikan kira-kira lapan aset tak alih terdiri daripada tiga buah rumah, tiga buah rumah kedai dan dua buah hotel yang didaftarkan atas nama beliau,” katanya.

Tambah sumber, siasatan turut mendapati terdapat kemasukan sejumlah wang dari sumber yang diragui bernilai kira-kira RM2 juta ke dalam akaun peribadi dan dua akaun syarikat perhotelan milik pegawai tersebut.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Saiful Ezral Arifin ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast