KUALA LUMPUR – Seorang lelaki dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol ditahan selepas kenderaan yang dipandu merempuh palang pintu di Pintu 2 Istana Negara, awal pagi tadi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 3.30 pagi apabila pemandu terbabit yang merupakan individu berbangsa India memandu kereta jenis Toyota Vios lalu merempuh palang pintu berkenaan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kenderaan tersebut datang dari arah Bukit Damansara sebelum merempuh kemudahan keselamatan di Jalan Changkat Semantan.
“Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan sama ada kepada pemandu atau pihak lain.
“Namun, kerosakan berlaku pada bahagian hadapan kereta serta ‘bollard pole’ dan ‘barrier gate’ di pintu masuk Istana Negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pihaknya telah menjalankan siasatan di lokasi kejadian termasuk mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), mengambil percakapan pemandu serta menjalankan ujian pernafasan.
“Hasil ujian mendapati kandungan alkohol dalam badan pemandu adalah 166 miligram per 100 mililiter darah, iaitu melebihi had yang dibenarkan,” katanya.
Susulan itu, pemandu terbabit telah ditahan dan kertas siasatan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya pada 23 Januari 2026 sebelum diarahkan untuk dituduh di bawah Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Pemandu itu dijadualkan dibawa ke Mahkamah Majistret (13) Kuala Lumpur, Jalan Duta pagi ini untuk direman. – MalaysiaGazette
















