GEORGE TOWN -Universiti Sains Malaysia (USM) membangunkan Micro-Credential Credit Bank System (MCCBS) sebagai sistem pentadbiran dan pengurusan kredit bagi menyokong pelaksanaan pembelajaran sepanjang hayat secara lebih fleksibel dan tersusun.
Naib Canselor USM, Profesor Datuk Seri Ir. Dr Abdul Rahman Mohamed berkata, MCCBS dibangunkan menerusi Credentia, iaitu Unit Pendidikan Fleksibel dan Pentauliahan yang ditubuhkan selaras dengan hala tuju Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035.
“Sistem berkenaan menyokong pengumpulan, penggabungan serta pemindahan kredit micro-credential ke arah kelayakan yang lebih tinggi termasuk stackable degrees.
“Credentia berperanan menyelaras penganugerahan Malaysia Micro-credential Statement (MMS) bagi tujuan pemindahan kredit, selain menyokong pelaksanaan pembelajaran sepanjang hayat secara sistematik di peringkat universiti.
“Penubuhan Credentia mencerminkan komitmen USM untuk menginstitusikan pendidikan fleksibel sebagai sebahagian daripada ekosistem nasional dan bukan sekadar inisiatif terasing,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Tambah beliau, MCCBS direka selari dengan konsep Academic Bank Credits (ABC) yang akan diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi sebagai platform nasional bagi pengumpulan, penyimpanan dan pemindahan kredit akademik.
“Pendekatan ini memastikan penyelarasan struktur, pentadbiran dan dasar USM dengan agenda RPTM 2026–2035,” katanya.
RPTM 2026–2035 meletakkan pembelajaran sepanjang hayat sebagai teras kepada sistem pendidikan tinggi yang inklusif, fleksibel dan berorientasikan masa hadapan, dengan penekanan kepada pendidikan terbuka dan laluan pembelajaran anjal. – MalaysiaGazette















