KUALA LUMPUR – Dakwaan seorang lelaki konon bapanya terjatuh beberapa kali di rumah mereka terbongkar selepas pemeriksaan perubatan mendapati warga emas itu dipercayai dipukul hingga meninggal dunia.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Faid Ahmad berkata, lelaki berusia 76 tahun itu di bawa ke hospital dalam keadaan separa sedar selepas suspek mendakwa mangsa terjatuh di rumah mereka di Rancangan Rumah Murah Seri Kembangan.
“Polis telah menerima laporan daripada pegawai perubatan yang bertugas di Jabatan Kecemasan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Cheras selepas mangsa di bawa ke zon merah oleh anaknya.
“Bagaimanapun, hasil pemeriksaan awal mendapati corak lebam pada badan mangsa tidak teratur dan disyaki akibat kecederaan disebabkan objek tumpul,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan itu katanya, bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang telah menahan suspek di lobi Jabatan Kecemasan HCTM sekitar jam 9.30 malam hari sama.
“Kes pada awalnya disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan suspek direman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah sehingga 30 Januari ini.
“Hasil semakan mendapati, suspek mempunyai 11 rekod lampau jenayah dan narkotik, manakala saringan ujian air kencing didapati negatif,” jelasnya.
Tambah beliau, pada 22 Januari lalu, mangsa disahkan meninggal dunia akibat kecederaan kepala disebabkan hentakan objek tumpul dan kes diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette
















