Oleh: Dr Nazrul Hazizi Noordin
SEJAK kebelakangan ini, masyarakat dikejutkan dengan pendedahan pelbagai kes rasuah yang melibatkan individu berjawatan penting dan tinggi dalam agensi serta sektor strategik negara. Pendakwaan ini mampu menghakis kepercayaan rakyat terhadap sistem yang sepatutnya menjadi benteng kepada keselamatan dan kebajikan mereka. Apa yang lebih mendukacitakan, individu-individu yang didakwa terlibat bukanlah terdiri daripada golongan yang cetek ilmu.
Sebahagian besar daripada mereka memiliki latar belakang pendidikan yang tinggi, sama ada melalui pendidikan formal di sekolah dan universiti, mahupun ilmu serta kepakaran yang diperoleh hasil pengalaman profesional bertahun-tahun di lapangan. Mereka sudah pasti mengetahui undang-undang, kod etika, serta implikasi setiap tindakan dan keputusan yang diambil.
Namun begitu, ilmu pengetahuan tersebut masih tidak dapat membimbing mereka agar menjauhkan diri daripada terbabit dalam salah guna kuasa dan amalan rasuah. Tetapi, adakah wajar untuk kita merumuskan bahawa sistem pendidikan di negara ini masih belum benar-benar berupaya melahirkan pemimpin masa hadapan yang jujur dan amanah? Untuk menjawab persoalan ini, kita boleh meneliti penekanan yang diberikan dalam sukatan pelajaran di sekolah, serta modul latihan di universiti dan di tempat kerja pada masa kini.
Secara umumnya, silibus pelajaran dan latihan korporat hari ini lebih banyak tertumpu kepada pembangunan keupayaan intelektual dan kemahiran teknikal. Prestasi pelajar dan pekerja sering diukur berdasarkan pencapaian peperiksaan atau kecekapan dalam mengurus sistem, jentera, dan teknologi. Bagaimanapun, pendekatan ini menjadi tidak seimbang apabila aspek pembentukan adab dan nilai rohani diberikan perhatian yang jauh lebih kecil.
Akibatnya, lahirlah pemimpin yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi, tetapi rapuh dari segi kekuatan moral apabila berdepan dengan godaan kuasa, nafsu, dan harta. Untuk membina kembali keseimbangan ini, penulis mengajak para ilmuwan serta pembuat dasar dalam sektor pendidikan negara untuk kembali menghayati karya ulung Profesor Diraja Tan Sri Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas, Risalah Untuk Kaum Muslimin, khususnya perbincangan beliau dalam perenggan Faham Ilmu mengenai kepentingan menerapkan jenis ilmu yang betul.
Dalam wacana harian, kita sering mendengar dan menggunakan istilah “ilmu pengetahuan”. Namun demikian, istilah “ilmu pengenalan” jarang sekali disebut atau diberi perhatian. Hakikatnya, kedua-duanya tergolong dalam kategori ilmu yang berbeza, namun mempunyai hubungan yang erat dan saling melengkapi, sebagaimana yang dihuraikan secara jelas oleh Profesor al-Attas sebagai asas kepada pembentukan modal insan.
Ilmu pengenalan, atau ilmu jati diri, merujuk kepada disiplin ilmu yang membimbing seseorang untuk mengenali dan menghayati asal-usul kejadian dirinya, di samping mengingatkan dia tentang janji dan tanggungjawab yang perlu ditunaikan kepada Tuhan yang menciptanya, sebagaimana yang dirakamkan dalam ayat 172 Surah Al-A’raf. Apabila seseorang itu benar-benar mengenali dirinya, dia sudah tentu tidak akan sesekali menzalimi diri sendiri dengan menerima suapan rasuah yang bukan menjadi haknya.
Penolakan suapan tersebut tidak didorong semata-mata oleh rasa takut kepada undang-undang ciptaan manusia yang bersifat berubah-ubah mengikut peredaran masa, tetapi lahir daripada kesedaran spiritual dan moral untuk tidak mengkhianati amanah serta janji kepada Penciptanya. Dengan berpandukan ilmu jati diri, seseorang itu juga akan menyedari bahawa kebahagian yang hakiki dan berkekalan (saʿādah) hanya dapat dicapai melalui kehidupan yang diredai Allah, iaitu dengan mematuhi segala perintah-Nya serta menjauhi segala larangan-Nya. Firman Allah SWT dalam ayat 265 Surah al-Baqarah: “Dan bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredaan Allah dan kerana meneguhkan (iman dan perasaan ikhlas) yang timbul dari jiwa mereka, adalah seperti sebuah kebun di tempat yang tinggi, yang ditimpa hujan lebat, lalu mengeluarkan hasilnya dua kali ganda”.
Mengambil jalan pintas dengan menerima rasuah demi mengejar gaya hidup mewah dan keseronokan duniawi yang bersifat sementara bukan sahaja merupakan satu bentuk penipuan terhadap diri sendiri, malah menghakis ketenangan jiwa dan keberkatan hidup. Selain itu, ilmu jati diri berperanan penting dalam membantu seseorang menetapkan matlamat yang jelas dan terarah dalam usaha mendalami serta mempraktikkan ilmu pengetahuan dalam sesuatu bidang secara berhikmah.
Sebagai contoh, individu yang menceburi bidang perakaunan dengan matlamat melindungi kepentingan awam, selaras dengan tuntutan agama, akan memanfaatkan kepakaran dan ilmunya untuk memastikan penyediaan laporan kewangan yang tepat dan telus. Penulis berpandangan bahawa usaha untuk memulihkan keseimbangan antara ilmu jati diri dan ilmu pengetahuan dapat dilaksanakan melalui dua peringkat utama. Peringkat pertama, dan yang paling mudah dilaksanakan ialah memperkenalkan pengajian Etika Islam (tasawwuf) yang memberi tumpuan kepada aspek penyucian jiwa kepada pelajar beragama Islam, manakala Pembinaan Sahsiah kepada pelajar bukan Islam.
Pengajian ini wajar diarusperdanakan dalam program akademik dan profesional, sama ada dalam bidang sains sosial mahupun sains tulen, sebagai subjek teras yang diwajibkan, dan bukan lagi sekadar ditawarkan sebagai subjek elektif. Sebagai contoh, sesuatu program sarjana kewangan Islam wajar mewajibkan sekurang-kurangnya satu kursus teras, seperti Islam sebagai Asas Etika Transaksi Kewangan, bagi memastikan pelajar memahami kerangka nilai serta falsafah yang mendasari amalan kewangan menurut pandangan alam Islam, bukan sekadar aspek teknikal dan perundangannya semata-mata.
Peringkat seterusnya ialah usaha mengintegrasikan secara lebih mendalam topik serta elemen berkaitan agama dan adab ke dalam subjek-subjek arus perdana. Pendekatan ini bertujuan memastikan nilai-nilai agama dan adab tersebut meresap secara menyeluruh dalam pembentukan pemikiran, sikap, dan amalan profesional para pelajar.
Sebagai contoh, konsep kebertanggungjawaban dalam Islam yang berasaskan prinsip tauhid boleh disepadukan dalam subjek perakaunan, sebagai ganti kepada konsep kebertanggungjawaban yang berakar kepada pandangan dan kebudayaan Barat. Konsep ini menegaskan bahawa manusia bukan sahaja memikul amanah dan tanggungjawab secara mendatar iaitu kepada sesama manusia dan institusi, malah yang lebih utama, memikul amanah dan tanggungjawab secara menegak (vertical accountability), iaitu kepada Allah SWT.
Penerapan ilmu jati diri yang berteraskan agama merupakan satu pelaburan jangka panjang yang strategik untuk membebaskan negara daripada belenggu rasuah, yang kosnya sedang kita tanggung hari demi hari bukan sahaja melalui ketirisan dana awam yang sepatutnya dimanfaatkan untuk pembangunan serta kebajikan rakyat, malah melalui perbelanjaan besar bagi proses perundangan serta penguatkuasaan undang-undang yang perlu ditanggung oleh kerajaan.
Penulis adalah Pensyarah Kewangan Islam di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Felo Pelawat di Pusat Pengajian Islam Oxford, United Kingdom
















