Filem American Doctor

KUALA LUMPUR – Tayangan perdana Amercan Doctor, sebuah dokumentari arahan pembuat filem kelahiran Pulau Pinang, Poh Si Teng telah berlangsung semalam di Festival Filem Sundance 2026 di Utah, Amerika Syarikat (AS) semalam.

Festival berkenaan salah satu festival dokumentari paling berprestij di dunia dan dokumentari tersebut ditayangkan dalam kategori pertandingan Dokumentari AS.

Si Teng ialah pembuat filem yang pernah menerima pencalonan Oscar untuk dokumentari pendek St. Louis Superman dan pemenang Anugerah Emmy baru-baru ini atas peranannya selaku penerbit eksekutif Patrice: The Movie.

Poh Si Teng

Dilahirkan dan dibesarkan di Malaysia, beliau mengaitkan didikan yang diterimanya dengan pemupukan nilai belas kasihan, tanggungjawab dan kejelasan moral yang mendorongnya menghasilkan American Doctor.

Dirakam di Gaza, Jordan dan Amerika Syarikat (AS), filem itu menampilkan kisah tiga doktor dari AS — seorang berketurunan Palestin, manakala dua lagi beragama Yahudi dan Zoroastrian — yang berkhidmat di Gaza dan kemudian mempertaruhkan kerjaya mereka untuk berjuang dan membela nasib rakan-rakan sekerja serta para pesakit di Palestin.

Dirakam sepenuhnya dalam gaya vérité (naratif realiti yang berkembang secara spontan), filem itu bermula di sebuah hospital di Gaza, kemudian membawa penonton ke dewan Kongres AS, menelusuri tanggungjawab etika para doktor yang bertugas dalam situasi peperangan dan berdepan tekanan politik.

Menurut Si Teng, nilai-nilai yang dihayatinya semasa membesar di Malaysia, bersolidariti bersama individu-individu lain dan bertindak dengan berpandukan hati nurani adalah inti pati filem berkenaan.

“Saya amat berbangga kerana rakyat Malaysia memberi kepercayaan terhadap filem ini sejak dari mula lagi. Kedermawanan mereka menjadikan American Doctor satu realiti,” katanya dalam kenyataan.

American Doctor secara rasmi disenaraikan sebagai kerjasama produksi Malaysia bersama rakan kongsi dari AS, Palestin, Qatar dan Denmark.

Menurut Si Teng, sokongan Malaysia amat penting pada detik kritikal dalam penghasilan filem ini sekali gus membuktikan komitmen berterusan negara berkenaan terhadap penceritaan kemanusiaan dan perjuangan membela nasib rakyat Palestin.

Penerbit bersama yang berpangkalan di Gaza, Mohammed Sawwaf dan pengarah fotografi Ibrahim Al Otla memainkan peranan penting dalam mendokumentasikan situasi sebenar di hospital semasa genosid berlaku.

Kedua-dua pembuat filem itu berasa sangat bangga kerana menjadi sebahagian daripada projek yang disokong oleh rakyat Malaysia justeru membolehkan kisah tentang Gaza dan warganya disampaikan secara teliti, tepat, dan bermaruah.

Salah seorang Penerbit Eksekutif Bersama filem ini ialah Jismi Johari, Presiden Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR).

Beliau merupakan seorang pemimpin kemanusiaan yang berpengalaman luas berkhidmat di Gaza dan zon-zon krisis lain di seluruh dunia.

“Kami tertarik untuk menyokong American Doctor setelah bertemu dengan Poh dan melihat beliau benar-benar ikhlas.

“Setelah bertahun-tahun berkhidmat di Gaza dan zon-zon krisis lain, saya tahu betapa sukarnya untuk merakam apa yang sebenarnya berlaku di sana dan saya faham betapa besarnya risiko yang diambil kru penerbitan untuk mendokumentasikan detik-detik itu.

“Saya melihat filem ini sebagai jambatan penting untuk advokasi; satu cara untuk mendekati masyarakat di AS dan seluruh dunia yang masih belum benar-benar memahami realiti di Gaza.

Seiring dengan tayangan American Doctor di seluruh dunia, para pembuat filem berharap karya yang sama menjadi bukti peranan Malaysia dalam menyokong penceritaan beretika dan individu-individu yang sanggup mempertaruhkan nyawa mereka untuk tampil sebagai saksi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast