Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merasmikan majlis Pecah Tanah Industri QL Innofood Park di Bagan Datuk. Turut sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad. Foto ABDULLAH YUSOF 25 JANUARI 2026.

BAGAN DATUK – Jemaah Menteri pada Jumaat telah memutuskan kanak-kanak berusia lima tahun diwajibkan mengikuti prasekolah, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, keputusan berkenaan dibuat dalam Mesyuarat Kabinet.

“Mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat lalu telah memutuskan bahawa prasekolah diselaraskan di bawah Kementerian Pendidikan di mana anak-anak berumur lima tahun akan diwajibkan untuk menduduki kelas prasekolah di sekolah kebangsaan dan sekolah di bawah kementerian pendidikan.

“Manakala Kemas (Jabatan Kemajuan Masyarakat) khususnya Tabika (Taman Bimbingan Kanak-Kanak) dan Tadika (Taman Didikan Kanak-Kanak). Begitu juga prasekolah perpaduan dan juga Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menyantuni pelajar daripada umur tiga hingga empat tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir ke Majlis Pecah Tanah Taman Industri QL Innofood Park, Hutan Melintang di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada sidang media Majlis Perasmian Pecah Tanah Industri QL Innofood Park di Bagan Datuk. Foto ABDULLAH YUSOF 25 JANUARI 2026.

Ahmad Zahid berkata, Jemaah Menteri juga telah memutuskan bahawa Kemas akan meneruskan kelas yang sedang berjalan mengikuti kurikulum sedia ada.

“Perlu ada penyelarasan dan juga pengubahsuaian supaya ada kesinambungan silibus ataupun mata pelajaran itu dengan tadika ataupun kelas prasekolah di sekolah kebangsaan untuk murid-murid yang berumur lima tahun ini,” katanya

Mengulas mengenai Pelan Pendidikan Malaysia, Ahmad Zahid berkata, ia merupakan sebuah pelan terkini yang disesuaikan dengan keperluan semasa dalam menyediakan pelajar berusia enam tahun untuk memasuki darjah satu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast