KUALA LUMPUR – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sentiasa komited memastikan setiap permohonan sebagai Pemastautin Tetap (PR) dan kewarganegaraan Malaysia diproses secara telus, teratur dan berpandukan peruntukan undang-undang.
Katanya, dalam hal pemberian kewarganegaraan, pertimbangan yang teliti perlu dilaksanakan bagi memastikan taraf kewarganegaraan Malaysia diberikan kepada individu yang benar-benar layak.
Ia juga mestilah selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan perundangan berkaitan tanpa menjejaskan aspek keselamatan, kepentingan negara dan warganegara sedia ada.
Jelasnya, setiap permohonan akan diproses dan diteliti dengan sewajarnya berdasarkan peruntukan Bahagian III Perlembagaan Persekutuan dan Kaedah-Kaedah Kewarganegaraan 1964 serta perundangan berkaitan yang berkuatkuasa dalam isu pendaftaran perkahwinan, pengangkatan, kesahtarafan anak dan peraturan imigresen.
“Penganugerahan kewarganegaraan Malaysia kepada individu bertaraf bukan warganegara merupakan anugerah tertinggi dan hak eksklusif Kerajaan Persekutuan yang tidak ditawarkan dan diberikan sewenang-wenangnya,” kata jabatan itu dalam satu kenyataan, malam ini.
Sementara itu, bagi Kad Pengenalan Pemastautin Tetap (MyPR), JPN berkata, buat masa ini kawalan prosedur utama permohonan adalah berpandukan kepada Permit Masuk sah yang diperolehi oleh pemohon daripada Jabatan Imigresen Malayisa (JIM).
Menurut JPN, pertimbangan dan kelulusan Permit Masuk adalah sepenuhnya tertakluk kepada kriteria dan penilaian yang ditetapkan oleh JIM.
Semakan silang secara bersepadu antara JPN dan JIM dilaksanakan bagi mengesahkan bahawa Permit Masuk yang dikemukakan adalah tulen, sah dan dikeluarkan kepada individu yang benar-benar layak.
“Selain itu, keputusan permohonan adalah tertakluk kepada Panel Jawatankuasa Pertimbangan Kelulusan yang dijalankan secara berkala dan setiap permohonan akan diperhalusi dengan teliti bagi memastikan kesahihan dan kelayakan pemohon.
“Walaupun begitu, status dan kad pengenalan MyPR boleh ditarik balik sekiranya pemegangnya didapati terlibat dalam apa-apa kesalahan yang boleh mengancam keselamatan, ketenteraman awam atau kepentingan negara,” katanya lagi.
MyPR ialah kad yang dikeluarkan oleh JPN kepada individu bukan warganegara yang telah diberikan status pemastautin tetap di Malaysia.
MyPR membolehkan individu bukan warganegara Malaysia menetap dan bekerja secara sah di negara ini selepas diberikan status pemastautin tetap melalui Permit Masuk oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Menurut JPN, sehingga 31 Disember 2025, seramai 261,156 orang pemegang MyPR yang direkodkan di seluruh negara.
JPN memberi maklum balas terhadap kebimbangan yang dizahirkan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung isu pemberian taraf RP kepada warga asing dan kewarganegaraan yang melibatkan kepentingan kedaulatan negara, keselamatan dan kesejahteraan.
Menurut JPN, ia menyambut baik nasihat dan keprihatinan Sultan Pahang terhadap isu-isu tersebut.
Tambahnya, JPN dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) sentiasa peka dan menjalankan proses yang sebaik-baiknya berkenaan perkara ini kerana setiap pemohonan akan diteliti mengikut giliran yang sewajarnya sebelum keputusan dikeluarkan. -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
















