KUALA PILAH – Kejayaan pasukan Malaysia daripada Akademi Alam Warisan yang merangkul tiga pingat emas dalam The 2025 Global Horseback Archery Masters di Honghuashan Sport Centre, Shenzhen, China didakwa tidak mendapat pengiktirafan daripada Kerajaan Malaysia.
Jurulatihnya, Muhamad Akmal Mohamad Dahalan berkata, meskipun atlet-atlet bimbingannya berjaya mengharumkan nama Malaysia, namun sukan memanah berkuda itu seolah-olah dipandang sepi termasuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

“Kita tidak mendapat pengiktirafan daripada kejayaan yang ditempa, sebaliknya negara luar melihat ini adalah satu pencapaian cukup luar biasa. Setiap hari nama dan atlet Malaysia disiar dalam berita utama di Pakistan, Kazakhstan dan China.
“Bagi saya ia agak merugikan negara kerana kita mempunyai ruang dan peluang sangat besar sekali untuk menjadi juara dunia dalam satu pertandingan yang cukup berprestij.
“Saya berharap Menteri Belia dan Sukan baharu, Dr Muhammad Taufiq Johari dapat memberikan pengiktirafan kepada pencapaian anak Melayu di peringkat dunia ini,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Ladang Alam Warisan, Seri Menanti, di sini, hari ini.

Pada 16 Disember lalu, pasukan Malaysia yang pulang ke tanah air berjaya memenangi tiga pingat emas dalam kejohanan The Global Horseback Archery Masters 2025 di Honghuashan Sports Centre, Shenzen, China yang berlangsung pada 10 hingga 13 Disember.

Dalam kategori Junior, Abu Bakr Muhamad Akmal muncul sebagai juara dengan memenangi pingat emas, manakala, Muhammad Muhammad Akmal meraih pingat perak bagi Serial Format.
Abdurrahman Ahmad Mu’az pula berjaya meraih pingat perak dan Muhammad sekali lagi memenangi pingat gangsa bagi Hungarian Format. Kejayaan terus dilakar dalam acara Masahi Team Junior dengan memenangi pingat emas.
Selain itu, Abdurrahman sekali lagi mengharumkan nama negara dengan memenangi pingat perak dalam Hungarian Format, manakala Abu Bakr pula meraih gangsa negara menerusi Serial Format serta pasukan Masahi Team Open Division Malaysia berjaya merangkul pingat emas.
Abu Bakr juga dianugerahkan Persembahan Terbaik, sekali gus menonjolkan keunggulan beliau sebagai salah seorang atlet terbaik kejohanan.

Akmal melahirkan rasa kesal apabila acara memanah berkuda yang dikategorikan sebagai sukan etnik atau ethnosport didakwa dianaktirikan KBS sedangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyokong pemeliharaan warisan budaya itu.
“Saya nak merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri Malaysia yang memberikan penekanan kepada ethnosport, sukan memanah berkuda ini adalah sukan tradisional, tapi kita lihat KBS belum melaksanakannya.

“Saya berharap dengan pengurusan baharu yang mana Dr Taufiq sebagai peneraju KBS akan dapat memberikan satu sinar dan harapan baharu kepada atlet memanah berkuda negara Insya-Allah, sekali gus akan terus mengharumkan negara,” katanya.
Ketika ditanya tentang sukan memanah berkuda tidak berdaftar dengan KBS sehingga dipandang sepi, sebaliknya Akmal berkata ethno sport itu sudah didaftarkan di bawah Malaysia Horseback Archery Federation (MHAF).
“Alhamdulillah saya berterima kasih kepada KBS kerana mengiktiraf MHAF sebagai satu badan panahan berkuda Malaysia.

“Tetapi dalam masa sama, penekanan dan bantuan masih kurang diberikan, jadi kita banyak ke luar negara dengan perbelanjaan sendiri, semua kos dengan duit poket sendiri.
“Besar harapan kami agar kerajaan dapat mendanai, sekurang-kurangnya untuk menanggung kos perjalanan penyertaan program dan pertandingan.
“Ini kerana kami berhajat membawa lebih ramai guru yang hebat datang ke Malaysia bagi membentuk dan berkongsi pengalaman yang boleh dimanfaatkan untuk atlet kita,” katanya.

Selain itu, Akmal juga menyeru semua pihak untuk memberikan sokongan sepenuhnya kepada sukan memanah berkuda yang terbukti berjaya mengharumkan nama negara di pentas dunia.
“Kita kena memberikan pengorbanan dan penekanan sedikit dalam usaha untuk melatih dan mencanai bakat-bakat muda bagi mengharumkan nama negara.
“Kita kena santuni sukan ini seperti sukan profesional lain, itulah yang kita cuba gerakkan dalam Ladang Alam Warisan untuk menjenamakan memanah berkuda sebagai satu sukan profesional dan bertaraf tinggi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















