USM

GEORGE TOWN – Literasi kecerdasan buatan (AI) perlu diperluas ke peringkat komuniti akar umbi bagi mengelakkan masyarakat menjadi pengguna pasif teknologi dan terdedah kepada manipulasi digital, kata Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Nur Hafeeza Ahmad Pazil.

Beliau berkata, AI kini bukan lagi teknologi masa hadapan, sebaliknya telah meresap dalam kehidupan seharian masyarakat melalui aplikasi digital seperti media sosial dan platform komunikasi.

Menurutnya, tanpa pemahaman yang betul terhadap AI, masyarakat lebih mudah terdedah kepada risiko kandungan palsu dan manipulasi algoritma tanpa disedari.

“Keperluan meningkatkan literasi AI adalah selari dengan hala tuju Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) yang menekankan transformasi digital serta pembudayaan pembelajaran sepanjang hayat.

“RPTM meletakkan institusi pengajian tinggi (IPT) bukan sekadar sebagai pusat melahirkan graduan, tetapi sebagai rakan strategik dalam memacu perubahan sosial dan pemindahan ilmu kepada masyarakat.

“Usaha kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya diterjemahkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui dasar yang menggalakkan penerokaan AI secara beretika dan inklusif,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, cabaran utama ketika ini ialah memastikan literasi AI tidak terhad kepada pelajar universiti atau golongan profesional di bandar, sebaliknya sampai kepada komuniti luar bandar, golongan rentan dan warga emas.

Menurutnya, kegagalan mengambil langkah segera berisiko mewujudkan jurang AI yang lebih luas berbanding jurang digital sedia ada.

“Sehubungan itu, USM melalui program AI-Know telah melaksanakan pendekatan pendidikan berasaskan komuniti dengan melibatkan mahasiswa Antropologi dan Sosiologi dalam projek komuniti di Kampung Sungai Tengas, Kulim, Kedah.

“Menerusi sesi praktikal dan perbincangan, komuniti didedahkan kepada penggunaan AI serta risiko kandungan yang dihasilkan atau disunting menggunakan teknologi tersebut, khususnya dalam aplikasi WhatsApp.

“Pendekatan berkenaan membantu komuniti memahami AI sebagai alat praktikal untuk kegunaan harian, termasuk membantu usahawan kecil, pembelajaran anak-anak dan penapisan maklumat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan, aspek etika, privasi data dan batasan AI turut ditekankan dalam usaha literasi komuniti bagi memastikan masyarakat memahami risiko penggunaan teknologi berkenaan.

“Penglibatan mahasiswa dalam program universiti-komuniti bukan sahaja memindahkan ilmu, malah membentuk empati, kemahiran komunikasi dan sahsiah mahasiswa.

“Pengukuhan literasi AI memerlukan usaha berterusan melalui program berasaskan komuniti dan sokongan dasar selaras dengan aspirasi RPTM.

“Kejayaan transformasi digital negara perlu diukur berdasarkan tahap kematangan digital masyarakat, bukan semata-mata kecanggihan teknologi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast